PFA: Potong Gaji Pemain Premier League Akan Rugikan Kerajaan

Guardiola

Professional Footballers’ Association (PFA) memberi amaran cadangan Premier League yang mahu 30% gaji semua pemain liga tersebut dipotong akan merugikan kerajaan sendiri.

Premier League sebelum ini mencadangkan pemain-pemain untuk menerima potongan gaji sebanyak 30% untuk menyelamatkan pekerjaan staf-staf kelab yang terancam berikutan kekangan kewangan kelab susulan penularan wabak COVID-19 di Eropah.

Bagaimanapun PFA memberitahu potongan gaji pemain Premier League sebanyak 30% itu bersamaan dengan pengurangan gaji sebanyak £500 juta secara keseluruhannya, dan pengurangan sumbangan cukai melebih £200 juta kepada kerajaan United Kingdom (UK).

Setiausaha Kementerian Kesihatan UK Matt Hancock sebelum ini mengkritik gaji pemain Premier League secara terbuka dan meminta mereka untuk menerima pemotongan gaji dalam satu sidang media pada Khamis lepas.

Bagaimanapun PFA membalas kritikan Hancock dengan soalan retorikal:

“Apa kesannya kepada National Health Service (NHS) jika pemain dipaksa menerima pemotongan gaji? Adakah kesan ini diambil kira oleh Premier League dalam cadangan mereka?

“Adakah Setiausaha Kementerian Kesihatan fikir tentang perkara ini ketika meminta pemain untuk menerima potongan gaji?”

PFA bagaimanapun menegaskan semua pemain Premier League akan “memainkan peranan mereka untuk membuat sumbangan kewangan yang signifikan pada masa tak menentu sekarang.”

Pengurus England Gareth Southgate juga dilaporkan oleh media telah bersetuju menerima pemotongan gaji sebanyak 30%.

Pemain-pemain Premier League ketika ini menerima tekanan untuk menerima pemotongan gaji terutamanya selepas lima kelab Premier League – Liverpool, Newcastle, Tottenham, Bournemouth dan Norwich – memaksa staf mereka mengambil cuti bertugas.

Kerajaan UK sebelum ini mengumumkan mana-mana rakyat UK yang terpaksa mengambil cuti bertugas oleh majikan layak mendapat 80% gaji sebulan mereka di bawah sistem furlough.

Tindakan kelab-kelab Premier League ini mendapat kritikan orang ramai di UK – terutamanya Liverpool, Tottenham dan Newcastle yang dimiliki oleh jutawan mega.

Ini kerana kelab-kelab ini menggunakan duit cukai rakyat untuk membayar gaji staf kelab mereka sedangkan kelab mereka mencatatkan keuntungan dan mempunyai jutawan mega sebagai pemilik kelab.

Tetapi ada juga kelab yang betul-betul berisiko untuk gagal mebayar gaji pemain dan staf jika Premier League tidak disambung dalam masa terdekat. Burnley, seperti contoh, berpotensi untuk rugi £50 juta jika Premier League musim ini dibatalkan.

Premier League sebelum ini memberi amaran mereka akan menerima penalti £762 juta jika liga tidak disambung kerana penyiar akan meminta wang mereka dikembalikan.

Selain itu berjuta-juta pounds lagi akan hilang dari kantung kelab dalam bentuk penajaan dan pendapatan hari perlawanan jika musim terus dibatalkan atau terpaksa dimainkan dalam stadium kosong.

Premier League setakat ini tidak boleh mewajibkan kelab untuk memotong gaji pemain kerana ia perlu dipersetujui oleh pemain dan barisan jurulatih.

Untuk membantu kelab-kelab liga bawahan daripada dipaksa ‘bungkus’ kerana masalah kewangan untuk membayar gaji pemain, Premier League turut akan memberi wang pendahuluan sebanyak £125 juta kepada kelab-kelab EFL Championship dan National League.

Selain itu Premier League turut memberi sumbangan £20 juta kepada NHS.

PFA memuji langkah Premier League, tetapi turut berkata sumbangan itu boleh dinaikkan lagi.

“PFA juga percaya wang pendahuluan yang Premier League hulurkan kepada EFL dan liga bawahan akan membantu kewangan banyak kelab dalam jangka masa pendek. Tetapi kita harus mencari cara lain untuk jangka masa panjang.

“”Banyak kelab perlukan peningkatan sumbangan hanya untuk kekal beroperasi. Kami percaya dengan piramid bola sepak kita dan menekankan solidariti antara semua kelab.

“Pemain kami sedar sebagai pekerja sistem cukai PAYE (pay-as-you-earn), jumlah cukai yang dibayar dari gaji mereka memberi sumbangan besar kepada servis awam kerajaan yang sangat diperlukan pada masa kritikal sekarang.”

Pakatan kapten-kapten Premier League yang diketuai oleh kapten Liverpool Jordan Henderson sebelum ini memberitahu pakatan mereka akan mengumumkan satu sumbangan kebajikan. Tetapi tiada persetujuan setakat ini untuk mereka menerima pemotongan gaji.

Baca juga artikel kami yang lain mengenai isu pemotongan gaji pemain susulan wabak COVID-19:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN