Harapan ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee untuk melihat kejohanan Pestabola Merdeka kembali dianjurkan bakal direalisasikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
FAM melalui kenyataan terbaharu daripada Setiausaha Agungnya, Stuart Ramalingam menjelaskan yang kemungkinan kejohanan bola sepak tahunan anjuran FAM itu akan kembali dianjurkan.
Walaubagaimanapun, Stuart menggambarkan yang pertandingan tersebut mungkin bakal dilangsungkan pada bulan Mac tahun hadapan, berbeza dengan tarikh penganjuran sebelum ini.
Sebagaimana nama dan tujuan penganjuran kejohanan iaitu untuk meraikan ulangtahun kemerdekaan negara, lazimnya ia diadakan pada bulan kemerdekaan iaitu pada bulan Ogos dan September.
Pada edisi 2013 yang lalu, kejohanan ini telah dianjurkan pada bulan September dan skuad negara di bawah kendalian Kim Swee telah menjuarai kejohanan yang berlangsung di Kuantan itu.
“Kami tengah teliti mengenai pelaksanaan Pestabola Merdeka. Sama ada ia diadakan pada Januari atau Mac yang juga tempoh aksi antarabangsa FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
“Kalendar itu (yang dikeluarkan MFL) dibuat selepas perbincangan dengan FAM untuk mengadakan pertandingan itu pada Januari.
“Namun besar kemungkinan kita tidak akan guna tarikh itu sebaliknya ditangguh ke Mac,” ujar Stuart yang dipetik berkata kepada Berita Harian melalui sidang media, malam tadi.
Dalam kalendar bola sepak 2019 yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah menunjukkan yang kejohanan tersebut bakal dilangsungkan sekitar bulan Januari 2019.
Namun, FAM merasakan yang tarikh penganjuran tersebut kurang bersesuaian kerana semua pasukan masih dalam mood persediaan akhir untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) 2019.
“Kami tidak mahu kacau persiapan kelab. Kami tidak mahu panggil pemain untuk tempoh yang lama kerana sudah ‘pegang’ pemain lebih daripada 50 hari (untuk aksi Piala AFF),” ujarnya lagi.
Pada edisi terakhir ianya dianjurkan iaitu pada 2013, Malaysia yang diwakili oleh skuad B-23 telah layak ke pentas final seterusnya berjaya menundukkan Myanmar dengan keputusan 2-0.