Pestabola Merdeka Ada Nilai Tersendiri, Wajar Untuk Dianjurkan Semula

Pestabola Merdeka Malaysia

Sempena Bulan Kemerdekaan saat ini, bagi penyokong bola sepak negara yang pernah menikmatinya, Pestabola Merdeka adalah kejohanan wajib.

Entah di mana silapnya, ia sudah dilupakan selepas kali terakhir dianjurkan hampir 10 tahun lalu yang menyaksikan Malaysia meraih kejuaraannya.

Edisi 2013 menyaksikan kejohanan tersebut jadi medan pertembungan skuad B-23 negara terlibat – Malaysia, Singapura, Thailand dan Myanmar.

“Bazir masa, tiada faedah, langsung tiada mata ranking, menghabiskan duit anjur kejohanan yang sia-sia, cover balik kekalahan Piala AFF la tu, baik sertai kejohanan antarabangsa lain,”

Itu antara komen ‘penyokong’ bola sepak negara yang skeptikal selepas Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan penganjuran semula Pestabola Merdeka pada 2018. Ada sahaja yang tidak kena di mata segelintir daripada mereka. Natijahnya, ia tidak dianjurkan sehingga kini.

Sebaliknya, kejohanan baharu diperkenalkan ketika itu iaitu Piala Airmarine. Namun, dikatakan ia bukanlah pengganti kepada Pestabola Merdeka.

Tetapi tahukah mereka mengenai sejarah Pestabola Merdeka? Ini antara kejohanan bola sepak jemputan yang tertua di Asia yang mula dianjurkan sejak merdeka pada tahun 1957. Ya, era gemilang kejohanan ini telah lama berlalu. Ia tidak sama seperti ketika tahun 50-an hingga awal 80-an di mana ia mampu menarik pasukan-pasukan utama Asia untuk menyertainya.

Antara negara yang pernah menyertainya adalah gergasi Asia kini, Korea Selatan yang muncul juara sebanyak 9 kali – 4 kali berkongsi kejuaraan.

Kejohanan yang ada nilai estetika

Walaupun hanya kejohanan jemputan atau mungkin ‘membazir masa’ bagi sesetengah penyokong, tetapi ia mempunyai nilainya yang tersendiri sama ada di kalangan penyokong ‘otai’ dan majoriti bekas pemain skuad negara.

“Amat menyedihkan kita telah ‘hilang’ hari-hari gemilang itu dan apa yang tinggal kini hanyalah kenangan-kenangan indahnya,” tutur lagenda bola sepak negara era 60-an, mendiang Dato’ M. Kuppan sekitar tahun 2016.

legenda-bola-sepak-malaysia-m-kuppan
Foto: Babap.net

Dipetik berkata kepada akhbar The Star, Kuppan yang juga bekas ketua jurulatih negara itu menyatakan yang era tersebut adalah era kegemilangan bola sepak negara dan ia turut mendapat sambutan daripada segenap penyokong kerana kejohanan tersebut ada nilainya yang tersendiri.

“Ketika itu, semua penyokong begitu memuja pasukan kebangsaan kita. Ia adalah sesuatu yang sangat menyentuh perasaan melihatkan suasana yang hebat dan juga stadium yang penuh.”

“Bas pemain tidak dapat memasuki kawasan stadium kerana jalan masuk ke stadium menjadi sesak walaupun terdapat anggota polis yang mengawalnya. Kami terpaksa turun dari bas dan berjalan kaki.”

“Itulah antara tahun-tahun menakjubkan dalam sejarah Pestabola Merdeka. Kita dapat bersaing dengan pasukan-pasukan utama Asia yang turun beraksi seperti Korea Selatan, Jepun, Burma, Indonesia, India, Singapura dan Thailand.”

Mendiang Dato’ M. Kuppan

Salah FAM sebab kerap tak anjur

Antara kesalahan FAM dalam isu ini semestinya adalah apabila kerap mengenepikan kejohanan ini. Kejohanan berprestij sebegini kian hilang ditelan dek zaman bermula pada penghujung 80-an. Jika dihitungkan, sebanyak 24 edisi ia tidak dianjurkan. Secara tidak langsung, ia telah menghilangkan prestij penganjurannya waima ia kejohanan jemputan.

Aspek penganjuran yang tidak konsisten sebegini mengurangkan minat dan tarikan pasukan-pasukan utama di dunia terhadap kejohanan ini.

Selain itu, lagenda bola sepak negara, Datuk Santokh Singh turut berkongsi pendapatnya kepada portal FMT yang segalanya bermula dengan tindakan FAM yang dilihat ketika itu mula menurunkan bukan pemain utama.

“Mungkin salah FAM kerana tidak menurunkan pemain utama pada kejohanan itu yang menyebabkan negara jemputan ke kejohanan itu menurunkan pemain simpanan.”

“Ini menyebabkan kejohanan itu kurang mendapat sambutan dan akhirnya tidak dianjurkan. Apapun saya mahu Pestabola Merdeka dikembalikan semula.”

Tiru Piala Raja Thai anjuran FA Thailand

King’s Cup ataupun Kejohanan Piala Raja Thai juga adalah kejohanan bola sepak jemputan anjuran FA Thailand (FAT) yang mula diperkenalkan sejak 1968. Ia konsisten berlangsung dan hanya tujuh kali tidak dianjurkan.

Melibatkan hanya 4 pasukan, berkonsep kalah mati dan setiap pasukan mendapat dua perlawanan. Ia masih mampu menarik pasukan-pasukan yang memiliki ranking yang baik di dunia kerana ia mengikut kalender FIFA.

Sebagai contoh pada edisi 2018, King’s Cup telah disertai oleh pasukan di ranking atas 100 dunia iaitu Slovakia, Gabon dan UAE. Ia juga pernah disertai Korea Utara, Jordan, Poland, India, Burkina Faso dan Slovakia.

Malaysia juga pernah menyertai kejohanan ini sekitar hujung era 60-an dan era 80-an. Malaysia menang dalam 4 edisi. Dan edisi 2022, Malaysia bakal kembali ke kejohanan tersebut selepas kali terakhir membuat kemunculan pada edisi 1989 bersama Thailand, Tajikistan dan Trinidad & Tobago.

FAM perlu konsisten untuk penganjuran Pestabola Merdeka. Ini adalah kejohanan yang ada nilainya yang tersendiri kepada sejarah bola sepak negara. Penyokong era baharu juga tidak boleh disalahkan mempersoalkan kejohanan sebegini kerana mereka kurang pengetahuan mengenai nilainya.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN