Legenda Brazil, Ronaldo Nazário de Lima mengakui kecewa dengan penampilan hambar yang ditunjukkan Neymar di pentas Piala Dunia 2018.
Malah beliau turut menilai aksi yang dipamerkan pemain termahal dunia itu tidaklah sehebat yang disangka.
Menurutnya, Neymar gagal memberikan persembahan ‘master class’ untuk mengemudi jentera serangan pasukan.
Sebaliknya beliau dikecam oleh peminat bolasepak dengan aksi lakonannya diatas padang.
Katanya, ” Kami semua mengharapkan lebih banyak daripada dia kerana dia adalah bintang pasukan.”
“Tetapi apa yang dipamerkan beliau di Rusia ini amat mengecewakan kami.”
Namun begitu, Ronaldo tidak menafikan penurunan prestasi Neymar berkait rapat dengan kecederaan yang dialaminya sebelum ini.
Beliau turut berpendapat mungkin disebabkan kecederaan yang dialami Neymar sebelum Piala Dunia sedikit menggangu rentak permainannya dan menjadi salah satu punca penurunan prestasinya di kejohanan Piala Dunia.
“Saya tidak tahu apa yang dia lakukan diatas padang. Mungkin kerana kecederaan yang dialaminya sebelum Piala Dunia.”
“Saya tidak tahu sama ada ianya kerana operasi pembedahan pada kakinya atau masalah lain, tetapi saya melihat aksi beliau agak terhad di atas padang.” ujarnya.
Jadikan Piala Dunia 2018 sebagai satu pengajaran
Perjalanan skuad A Seleção di Rusia terhenti di peringkat suku akhir selepas mereka ditewaskan Belgium dengan keputusan 2-1.
Kekalahan itu membuat Brazil kembali kempunan untuk mengulangi kegemilangan skuad samba diera tahun 2002.
Neymar menjadi individu paling terkesan dengan kegagalan Brazil di kejohanan kali ini.
Ketika ini beliau berusia 26 tahun dan untuk Piala Dunia yang akan datang pada tahun 2022, usia Neymar sudah menjangkau 30 tahun.
Di usia tersebut merupakan tempoh kemuncak penghujung karier bagi seseorang pemain bolasepak.
Namun bagi Ronaldo, beliau masih percaya Neymar mempunyai waktu yang banyak untuk memperbaiki permainannya dan mengukuhkan semula reputasi sebagai pemain terbaik dunia di peringkat antarabangsa.
“Dia harus belajar dari Piala Dunia ini. Dia masih muda. Usianya pada hari ini adalah 26 tahun.”
“Sebelum Piala Dunia 2022, dia perlu mengambil tempoh masa ini dengan sebaiknya.”
“Jika dia mahu berjaya, dia perlu belajar untuk mengawal emosinya semasa perlawanan, dia tidak boleh terus memberikan pemain lawan membuat terjahan dan tidak berani untuk mengambil risiko dengan membuat pergerakan.”
“Dia harus menggunakan idea dengan lebih cerdas di padang.”