Malam ini, Belgium melangkah ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2018 menentang skuad Sumarai Biru dengan penuh keyakinan tetapi perlu berhati-hati dengan keupayaan lawan.
Ini kerana, dalam lima pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini, Belgium hanya mampu merekodkan satu kemenangan iaitu pada November tahun lalu dengan keputusan 1-0.
Kedua-dua pasukan melangkah ke perlawanan ini dengan cara yang berbeza. Jepun yang kalah 0-1 menentang Poland telah layak atas peraturan Fair Play.
Sementara The Red Devils pula layak ke pusingan kalah mati dengan bergaya, menang semua aksi Kumpulan G dengan rekod jaringan terbesar sepanjang kejohanan setakat ini.
Generasi emas Belgium mahu buktikan sesuatu
Dalam dua kejohanan besar sebelum ini, Belgium yang dibarisi skuad yang dianggap generasi emas ini dilihat gagal menepati sasaran dan harapan pemerhati bola sepak dunia.
Pada edisi 2014, mereka mara hingga ke suku akhir hanya untuk ditewaskan oleh finalis, Argentina dengan keputusan 0-1. Di kejohanan Euro 2016, mereka juga kandas di suku akhir.
Berdasarkan rekod jaringan yang besar setakat ini, mereka telah mempamerkan niat mereka dalam saingan di Rusia kali ini. Belgium mahu membuktikan sesuatu kepada dunia.
22 perlawanan tanpa kalah setakat ini, skuad kendalian Roberto Martinez dalam mood yang sangat baik. Martinez dan Eden Hazard dilihat senada dalam menyatakan kemampuan Belgium.
“Juara Eropah (Portugal) sudah tersingkir, juara dunia (Jerman) juga sudah tersingkir. Saya rasa pasukan kini dalam keadaan yang sangat baik, secara fizikal dan mental,” ujar Martinez.
“Mereka (Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi) sudah tiada. Inilah masa untuk menyinar,” tutur Hazard sambil menyatakan yang Piala Dunia kini seakan-akan sudah dalam gengaman mereka.
Jepun mahu lakar sejarah baharu
Sementara untuk Jepun yang dibarisi skuad yang agak berusia, mereka mahu melakar sejarah baharu sepanjang penglibatan mereka dalam saingan Piala Dunia.
Ini merupakan kali ketiga mereka layak ke pusingan 16 terbaik selepas melakukannya pada edisi 2002 dan 2010. Dan jika menang, Jepun akan mencipta sejarah layak ke suku akhir buat pertama kali.
Samurai Biru juga tidak pernah menang ke atas Belgium dalam enam pertemuan sebelum ini. Piala Dunia adalah pentas terbaik untuk melakukannya.
Mereka pernah bertemu di saingan Piala Dunia pada edisi 2002 dalam peringkat kumpulan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri 2-2.
Biarpun layak atas tiket Fair Play, Jepun juga perlu membuktikan sesuatu. Mereka wajib memperbaiki struktur pasukan untuk berdepan pasukan terkuat dalam saingan 16 terbaik ini.
Untuk rekod, Jepun gagal menjaringkan gol dalam 5 perlawanan menentang pasukan Eropah di Piala Dunia.
Pemain tumpuan
Romelu Lukaku ketika ini dalam mood terbaik untuk terus meledak gol. Dia adalah mesin gol buat Belgium dan ini pastinya sesuatu yang pemain ini ingin teruskan dalam pertemuan dengan Jepun.
Direhatkan ketika aksi terakhir kumpulan menentang England, Lukaku masih berada di kedudukan kedua senarai penjaring terbanyak dengan 4 gol, kurang satu berbanding Harry Kane.
Dibawah kendalian Martinez, Lukaku telah merekodkan 23 gol dari 20 penampilannya bersama Belgium dan di Rusia ketika ini, dia telah meledak 4 gol dari 4 percubaan tepat.
Pemain berusia 32 tahun dan menghampiri kaps ke-100 bersama Jepun, Keisuke Honda pastinya adalah pemain tumpuan selain pemain Borussia Dortmund, Shinji Kagawa.
Golnya ketika mengikat Senegal pasti akan diingati para penyokong Jepun kerana dia masuk selaku pemain gantian dan hanya memerlukan 6 minit untuk meledak gol penyamaan.
Walaupun dalam saingan Piala Dunia kali ini dia hanya beraksi 38 minit, pengaruhnya tidak dapat disangkal. Honda telah meledak 4 daripada 10 gol Jepun sepanjang beraksi di Piala Dunia.
Sebelum sepak mula
‘Asia untuk Asia’. Pastinya seluruh pelusuk benua Asia akan menumpukan perhatian kepada perlawanan ini. Inilah satu-satunya wakil Asia yang masih bersaing di Piala Dunia.
Perwatakan Belgium pasti akan diuji dalam perlawanan ini selepas hampir keseluruhan skuad utama direhatkan dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang England.
Adakah momentum mereka boleh diteruskan? Atau adakah Jepun akan mengejutkan The Red Devils pada malam ini? Jangan ketinggalan untuk menyaksikan pertembungan menarik ini.