Pergeseran antara Raheem Sterling dan Joe Gomez pada lewat aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield awal pagi semalam nampaknya berlarutan hingga ke tugasan skuad kebangsaan England.
Menurut sumber The Guardian, insiden itu bermula dengan provokasi secara verbal di kawasan ruang makan pemain dan kemudiannya bertambah buruk sehingga mengakibatkan konfrontasi secara fizikal.
Meskipun Sterling dikatakan sudah memohon maaf atas ketelanjuran perlakuannya itu, ia masih tidak mampu untuk mengelak hukuman yang diberikan Gareth Southgate.
Pengurus skuad kebangsaan England itu memilih untuk menyingkirkan pemain berusia 24 tahun tersebut pada perlawanan bertemu Montenegro di Stadium Wembley, Jumaat ini.
We can confirm that @sterling7 will not be considered for Thursday’s #EURO2020 qualifier: https://t.co/dsVfgitdSm
— England (@England) November 11, 2019
”Kami telah mengambil keputusan dengan mempertimbangkan untuk tidak menurunkan Raheem [Sterling] pada pertemuan Khamis [pagi Jumaat] ini menentang Montenegro.”
”Salah satu cabaran hebat dan kekuatan bagi kami adalah kami mampu untuk memisahkan perseteruan antara kelab dari skuad kebangsaan. Malangnya, emosi pada perlawanan semalam [Liverpool menentang Manchester City] masih bernyala.”
”Perasaan saya, ini adalah perkara yang tepat buat pasukan dengan tindakan yang diambil. Kini, keputusan tersebut dibuat selepas mendapat persetujuan daripada keseluruhan pasukan.
”Ini sangat penting untuk kita menyokong para pemain dan memberikan tumpuan pada perlawanan malam Khamis tersebut,” ujar Gareth Southgate lagi.
Namun begitu, Raheem Sterling tidak diketepikan terus daripada pasukan dan masih lagi bersama skuad The Three Lions itu.
Kredit foto: Sky Sports