Kelayakan Piala Dunia: Simon McMenemy Hanya ‘Teman’ Sang Garuda Ke Malaysia

simon-mcmenemy-indonesia

Tersebar khabar angin, pengendali Indonesia, Simon McMenemy tidak akan terbang ke Malaysia untuk aksi terakhirnya bersama Sang Garuda. Ini adalah disebabkan pengumuman Persatuan Bolasepak Seluruh Indonesia (PSSI) yang perlawanan menentang Malaysia adalah perlawanan terakhirnya bersama mereka.

Simon McMenemy dipecat berikutan aksi buruk Indonesia dalam pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kali ini yang menyaksikan mereka ketika ini berada di dasar Kumpulan G tanpa sebarang mata. Dan paling menyakitkan, Sang Garuda tunduk kepada Harimau Malaya di laman sendiri pada September lalu.

Indonesia sudah hampir tersingkir daripada pusingan kelayakan Piala Dunia namun masih berpeluang dalam kelayakan Piala Asia.

Namun, menurut Liputan 6, Simon McMenemy tetap bersama Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) untuk perlawanan terakhirnya nanti atas arahan Ketua Umum PSSI yang baharu, Iwan Bule ataupun Mochamad Iriawan mahukan beliau ada bersama.

Perkara ini telah disahkan oleh Setiausaha Agung PSSI, Ratu Tisha Destria namun menjelaskan pasukan sudah diambil alih oleh pengendali sementara, Yeyen Tumena dan Joko Susilo. Tugasan akhir pengendali tersebut hanyalah untuk bersama pasukan.

“McMenemy akan berangkat ke Malaysia. Dia harus bercakap kepada media [sidang media] kerana atas arahan Ketua Umum PSSI, McMenemy tetap harus berangkat untuk tempoh peralihan dan mendampingi pasukan,” jelas Ratu Tisha kepada media.

“Yang jelas, McMenemy akan ke Malaysia. Saat ini pasukan sudah berlatih bersama Yeyen Tumena dan Joko Susilo,” tambahnya.

Kedua-dua pengendali sementara itu adalah pembantu kepada Simon McMenemy dan akan membimbing Indonesia untuk aksi berdepan Malaysia sahaja sebelum pengendali sebenar tiba.

Menurut khabar angin, bekas pengendali skuad Piala Dunia 2018 Korea Selatan, Shin Tae-yong berada di barisan hadapan sebagai calon pilihan dan bakal diumumkan dalam masa terdekat apabila selesai segala proses perbincangan yang diakui oleh Iwan Bule.

Turut terkait dengan jawatan panas tersebut adalah Luis Milla namun atas sebab gaji yang lebih rendah, Shin Tae-yong bakal dipilih sebagai pengendali Sang Garuda yang memasang impian baharu, untuk melayakkan diri ke Piala Asia 2023.

Indonesia akan bertemu Malaysia pada 19 November depan di SNBJ untuk aksi kelima kumpulan dan pastinya mereka bakal berdepan saat sukar kerana Harimau Malaya mengidam tiga mata penuh untuk memperbaiki kedudukan di dalam kumpulan.

Kredit Featured Image: Abi Yazid

Leave a Reply