Bekas pemain pertahanan Stoke City, Dionatan Teixeira meninggal dunia pada usia 25 tahun. Pemain pertahanan tengah tersebut pernah tampil beraksi sebanyak 2 kali ketika bersama The Potters selama 3 tahun sejak 2014.
Sebuah akhbar tabloid, Stoke Sentinal melaporkan bekas pemain Slovakia B-21 itu dilaporkan mengalami serangan jantung ketika berada di negara kelahirannya, Brazil pada Ahad lalu.
Kelab bola sepak Sheriff Tiraspol yang Teixeira sertai selepas meninggalkan Stoke pada awal tahun ini turut mengeluarkan satu kenyataan mengenai kematian Teixeira.
“Beberapa jam yang lalu, kami kehilangan seorang bekas pemain yang mempunyai perwatakan yang baik, seorang pemain bola sepak yang bagus. Dinatan Teixeira disahkan meninggal dunia.”
“Pemain pertahanan kelahiran Brazil itu berusia 25 tahun. Seluruh warga kerja kelab terkejut dan sangat bersedih akan kehilangan ini.”
“Kami ingin mengucapkan ucapan takziah buat keluarga, saudara mara dan juga sahabat karib Dionatan,” ujar kenyataan daripada FC Sheriff tersebut.
Kematian mengejut Dionatan Teixeira turut dinyatakan oleh Stoke City melalui akaun rasmi media sosial rasmi, Twitter.
The thoughts of all at #SCFC are with the family & friends of our former player Dionatan Teixeira following his untimely passing, aged 25 pic.twitter.com/5Z1xUWF48V
— Stoke City FC (@stokecity) November 5, 2017
Dionatan Teixeira menandatangani kontrak bersama Stoke selepas berjaya melepasi ujian percubaan.
Sebelum mencuba nasib bersama Stoke, Teixeira turut pernah cuba menyertai Manchester City, namun terhalang kerana mempunyai masalah untuk mendapatkan visa.
Di peringkat awal kariernya, Teixeira pernah beraksi bersama Brazil dalam kejohanan peringkat belia sebelum memohon kerakyatan Slovakia.
Setelah berjaya memohon kerakyatan Slovakia, Teixeira menyertai kelab bola sepak Dukla Banska Bystrica di Slovakia pada 2013, sebelum berhijrah ke Liga Perdana Inggeris (EPL) bersama Stoke dengan yuran perpindahan bernilai £400,000.
Sepanjang bersama Stoke, Teixeira hanya tampil sebanyak 2 kali daripada bangku pemain simpanan ketika membantu The Potters menewaskan Aston Villa (Februari 2015) dan juga Bournemouth (Februari 2016).
Di dalam tempoh 3 tahun di Stoke, Teixeira turut pernah dipinjamkan ke Fleetwood Town sebelum memutuskan untuk menyertai kelab Moldova pada jendela perpindahan Januari 2017.
Bagaimanapun Teixeira dilaporkan kembali ke negara kelahirannya Brazil pada musim panas yang lalu kerana tidak ingin berjauhan daripada keluarganya.
Bola sepak profesional sering menyaksikan pemain mengalami masalah jantung sehingga mengakibatkan kematian.
Pada Jun lalu, bekas pemain tengah Newcastle United yang beraksi bersama sebuah kelab di China, Cheick Tiote rebah dan meninggal dunia ketika sedang menjalani latihan.
Sebulan kemudian pemain muda Ajax, Abdelhak Nouri rebah ketika sedang beraksi dalam satu perlawanan persahabatan pra musim akibat masalah jantung, dan disahkan mengalami kerosakkan otak kekal.