Pertahanan La Liga Sah Sertai JDT, Dion Cools Bakal Bersama Musim Hadapan

Menerusi satu sidang media yang dibuat oleh Johor Darul Ta’zim semalam, beberapa kejutan menerusi kenyataan dikeluarkan kelab tersebut nyata mengejutkan ramai pihak.

Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim semalam mengesahkan kelab milik baginda bakal menandatangani pertahanan La Liga yang bakal mempunyai kerakyatan Indonesia iaitu Jordi Amat bagi kuota Asean.

Jordi sebelum itu merupakan salah seorang pertahanan yang beraksi di Sepanyol untuk mewakili beberapa kelab di sana seperti Espanyol, Rayo Vallecano, serta Real Betis.

Pemain ini juga berpengalaman beraksi di saingan EPL bersama Swansea City pada 2013 serta kelab terakhir diwakili beliau sebelum menyertai JDT ialah K.A.S Eupen di Belgium.

“Jordi akan jadi sebahagian keluarga JDT dan jika semua proses mengenai pasportnya selesai, insya-Allah dia akan menyertai JDT dalam masa terdekat. Apa yang saya tahu ibunya berasal dari Makasar, Indonesia.

“Adalah satu kerugian jika Indonesia tidak mengambilnya untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan kerana dia pemain yang berpengalaman apabila beraksi lebih 100 perlawanan kompetitif di Eropah terutama di Sepanyol dan di England.

“Apapun kita tunggu sahaja proses berkenaan dan berharap dia akan menyertai JDT secepat mungkin,” kata Tunku Ismail pada majlis perjumpaan bersama penyokong JDT di bilik sidang media Stadium Sultan Ibrahim, hari ini menerusi Arena Metro.

Selain Tunku Ismail, turut hadir pada sidang media tersebut ialah Martin Prest selaku Pengarah Sukan dan Pengarah Teknikal JDT iaitu Alistair Edwards.

Dalam masa sama, Tunku Ismail turut menjelaskan isu pertahanan baharu mereka iaitu Daniel Ting setelah nama pemain tersebut agak sensasi ketika ini.

Jelas baginda, Daniel sudah pun melengkapkan vaksin beliau dan pemain tersebut sudah pun bebas ejen untuk dikaitkan dengan perkara negatif bersama JDT.

Menurut Tunku Ismail, tujuan kelab menandatangani Daniel supaya dapat memberi persaingan sihat buat beliau dan Corbin Ong selaku pertahanan kiri untuk memberi impak positif buat pasukan.

“Saya mahu posisi bek kiri ada saingan dan ketika ini Corbin beraksi di posisi berkenaan dan saya tidak mahu dia terlalu selesa.

“Malah jika berlaku sesuatu kepada Corbin sudah tentu ada pengganti yang mampu mengalas tugas di posisi bek kiri,” kata Tunku Ismail.

Selain itu, Tunku Ismail turut menjelaskan perancangan baginda mengenai pertahanan sensasi kebangsaan, Dion Johan Cools.

Menurut baginda, setakat ini kelab masih belum mempunyai perancangan untuk mengambil Dion Cools kerana pemain tersebut masih lagi mempunyai kontrak bersama kelab diwakilinya.

“Jika kami mahu mendapatkan Dion menyertai JDT, kami perlu membayar pampasan dengan jumlah tinggi.

“Jadi biar dia terus bermain bersama kelabnya dan kita tunggu sehingga tamat kontrak. Kita tunggu musim depan dia akan bersama JDT,” kata Tunku Ismail.

Sumber:
Harian Metro

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN