Bintang import Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Jordi Amat Maas dilaporkan kini sedang diintai khidmatnya oleh salah satu kelab gergasi di Turkiye musim ini iaitu Trabzonspor untuk memperkukuhkan jentera pertahanan mereka yang kurang konsisten.
Umum mengetahui Jordi merupakan salah satu pemain import kuota Asia Tenggara buat JDT sejak pertengahan musim lalu dan berjaya memberikan impak cukup besar buat pasukan berkenaan.
Jordi Amat signs for 🔵🔴
More photos at https://t.co/e1ln0Pv84m#NewSigning#JDTFamily#LuaskanKuasamuJohor pic.twitter.com/tXl3HdHhSp
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) June 29, 2022
Tidak mengambil masa yang lama di Malaysia, sumbangan Jordi memastikan pasukan itu berjaya menjuarai Piala FA musim lalu serta Piala Malaysia bersama persembahan cukup menggagumkan.
Aset bola sepak Indonesia ini juga berjaya meneruskan momentum cemerlang beliau sejak awal musim 2023 selepas membantu Harimau Selatan mendakap Piala Sumbangsih, Piala FA, serta hampir pasti merangkul kejuaraan Liga Super.
Hadir dengan reputasi cukup besar sebelum ini di Eropah, pastinya beberapa kelab lain kini mengintai peluang untuk cuba merisik khidmat Kapten JDT itu bersama mereka selaku aset pertahanan baharu.
Untuk rekod, Trabzonspor baharu saja selesai mengharungi perlawanan pertama mereka musim ini dalam saingan Super Lig di Turkiye dengan mencatat kemenangan sulung mengatasi Antalyaspor menerusi keputusan penuh 1-0.
Walaupun memperoleh kemenangan, dilaporkan pengendali utama pasukan tersebut iaitu Nenad Bjelica kurang berpuas hati dengan barisan pemain sedia ada terutama di jentera pertahanan.
Salah seorang pemain yang berada dalam radar pengendali tersebut kini terarah kepada Jordi dan dilaporkan perbincangan masih lagi sedang diadakan antara kedua pasukan tersebut.
Perkara ini dilaporkan sendiri menerusi media Indonesia yang dikenali sebagai CNN Indonesia dengan turut menyatakan Jordi bakal mengikat kontrak baharu bersama pasukan tersebut tidak lama lagi.
Selain Jordi, Trabzonspor turut menunggu khidmat penyerang baharu mereka dari Croatia iaitu Bruno Petkovic selepas beberapa perkara perlu diselesaikan sehingga pemain itu dapat mewakili mereka musim ini.
Jika perkara itu menjadi nyata, maka JDT bakal terlepas khidmat seorang pertahanan import yang sangat cemerlang musim ini dan berjaya membentuk gandingan terbaik bersama Feroz Baharudin.
TMJ has personally denied the rumor of Jordi Amat’s move to Trabzonspor as reported by multiple reports. https://t.co/4mtd9Ojx2c pic.twitter.com/BMlxYrN6GF
— JDT Fans (@JDTFCFans) August 14, 2023
Walaupun kesahihan cerita berkenaan masih diragui, dan tiada sebarang perkhabaran rasmi dibuat oleh laman JDT mengenai masa depan seterusnya buat Jordi bersama mereka.
Namun, ia adalah sesuatu yang agak mustahil untuk mereka melepaskan khidmat Jordi kerana JDT bakal mengharungi saingan ACL tidak lama lagi dan khidmat pertahanan berkenaan sudah tentu ditagih menerusi pengalaman dimilikinya.
Malah pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor (TMJ) juga sudah pun menafikan perkara tersebut di media sosial Instagram.