Sri Pahang FC, Sri Inderapura FC dan Inderapura FC. Itu adalah tiga nama baharu yang dipertandingkan dalam Pertandingan Mencipta Logo dan Nama anjuran Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) yang telah berakhir pada 1 November lalu.
Terang lagi bersuluh, Sri Pahang FC tentunya akan menang undian tersebut atas faktor ianya telah dimaklumkan oleh PBNP sebelum itu dan dua lagi nama – Sri Inderapura FC dan Inderapura FC, langsung tidak menggambarkan pasukan Pahang.
So ni kalau Sri Pahang FC yang terpilih, siapa dapat Rm4,000? Presiden ke? pic.twitter.com/BonEGtfJBj
— KOS23.eth | !SKULLS (@kingofsaka23) October 30, 2020
Yang menjadi persoalan adalah mengapa penyertaan untuk logo ada enam untuk dipilih, sedangkan nama hanya tiga yang disenaraikan. Tambah pelik, nama yang pereka letakkan dalam logo ciptaan mereka, tiada dalam senarai undian nama.
Adakah mereka tidak menghantar penyertaan untuk pilihan nama pasukan? Kerana difahamkan ianya merupakan pertandingan dan undian secara berasingan. Semuanya BOLA cuba mendapatkan kepastian dan menurut sumber, peserta yang memenangi undian logo tempohari turut menghantar penyertaan untuk nama pasukan.
Logo yang memenangi fasa undian ‘tidak rasmi’ tempohari merupakan Mohd Amirul Akashah – meraih 2861 undian (57 peratus) mengatasi logo hasil rekaan Aliff Helmi Ismail yang hanya meraih 1828 undian (37 peratus). Logo lain jauh ketinggalan.
Undian pemilihan LOGO dan NAMA baru pasukan Pahang akan bermula pada 4 petang ini (30 Oktober 2020) sehingga 1 November 2020, 5 petang.
Sebanyak 570 penyertaan telah diterima dan saringan telah dilakukan. LOGO dan NAMA yang terpilih akan dipaparkan di laman web dan aplikasi. pic.twitter.com/Z5ezqWxHie
— Sri Pahang FC (@OfficialPahang) October 30, 2020
Daripada logo mereka, kedua-dua peserta itu dapat dilihat menggunakan nama pasukan, Pahang FC dan Mahkota Pahang FC. Namun, untuk undian nama pasukan, tiada langsung nama yang digunakan oleh kedua-dua mereka di dalam senarai.
Jika melihatkan nama pertandingan, ia merupakan Pertandingan Mencipta Logo dan Nama, jadi mengapa nama Pahang FC dan Mahkota Pahang FC tiada dalam senarai untuk undian nama? Adakah PBNP risau nama awal yang diumumkan mereka – Sri Pahang FC, akan tewas sekiranya kedua-dua nama tersebut dimasukkan?
Menurut posting satu pengguna Facebook, Syed Ahmad Muhsin, “Ok, part ni [nama pasukan] aku takleh brain. Seriouslah takkan takde langsung cadangan nama macam Kelab Bola Sepak Pahang (KB Pahang), atau Pahang FC, atau FC pahang, ataupun Real Pahang ke? Kenapa perlu semua cadangan dipilih nama begitu klasik?”
Di akhir postingnya, Syed Ahmad telah menitipkan pesanan, “Kesimpulannya, pihak pengurusan, tolonglah bijak dalam proses letak nama pasukan, malu nanti woi nak hadap. Paling teruk, langsung menyimpang dan tak bawa ‘ruh’ bola sepak Pahang.”
Jika menurut keputusan undian tempohari, Sri Pahang FC menang untuk pemilihan nama baharu pasukan dengan 1436 undian – tidak sebanyak orang yang mengundi untuk logo. Mengapa? Mungkin ramai yang kurang setuju dengan pilihan yang ada.
KREDIT FEATURED IMAGE: PAHANG FA
Baca lagi artikel mengenai Pahang, Nama Baharu & PBNP:
Pahang FC, Mahkota Pahang FC Antara Nama & Logo Terpilih Dalam Senarai Akhir
Tindakan PBNP Tidak Betul, Mereka Tiada Kuasa Pun Untuk Gantung Sumareh