Tindakan PBNP Tidak Betul, Mereka Tiada Kuasa Pun Untuk Gantung Sumareh

Mohamadou Sumareh Police Tero FC 2020 PBNP Tidak Betul Gantung Pahang

Peguam undang-undang sukan, Zhafri Aminurashid berkata yang tindakan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) adalah di luar bidang kuasa mereka dan tidak betul.

Semalam, Jawatankuasa Tatatertib PBNP menjatuhkan hukuman gantung selama dua tahun ke atas Mohamadou Sumareh atas empat kesalahan selepas beliau telah didapati bersalah melanggar terma kontrak dengan persatuan tersebut.

Pemain sayap skuad kebangsaan itu ketika ini sedang beraksi bersama Police Tero FC di Thai League 1 selepas menamatkan sendiri kontraknya bersama Pahang dikatakan berpunca daripada kegagalan Pahang untuk membayar gajinya mengikut perjanjian yang telah ditetapkan di dalam kontrak pemain tersebut.

Menurut Zhafri yang bercakap kepada Berita Harian, “Apa yang dilakukan oleh PBNP itu tidak betul dan ‘ultra vires’, di mana mereka membuat sesuatu di luar bidang kuasa PBNP. Hanya FAM [Persatuan Bolasepak Malaysia] yang boleh menggantung mana-mana individu daripada terbabit dengan bola sepak di negara ini.”

“Jawatankuasa Tatatertib PBNP hanya ada kuasa untuk menggantung pemain yang bermain dalam liga seliaan PBNP, misalnya kalau ada pemain yang beraksi dalam Liga Bolasepak Pahang,” tambahnya lagi mengenai isu yang bermula sejak Julai lalu.

Sumareh adalah pemain Pahang dan tidak beraksi dalam mana-mana liga di bawah seliaan PBNP. Jadi, hanya FAM memiliki kuasa untuk menggantung Sumareh sekiranya terdapat perkara meragukan kepada kesnya. Tambah pelik, PBNP yang membawa kes ke Jawatankuasa Tatatertib, membicarakannya dan kemudian membuat keputusan.

Adakah tindakan PBNP adalah untuk memberikan ‘signal’ kepada FAM untuk turut menguatkuasakan hukuman tersebut ke atas Sumareh? Menurut Zhafri, FAM juga tiada keperluan untuk mengikut bentuk hukuman ‘pelik’ yang dijatuhkan itu.

“FAM pun tidak boleh menguatkuasakan penggantungan itu kerana Jawatankuasa Tatatertib PBNP tidak mempunyai sumber kuasa untuk menjatuhkan hukuman seperti yang dinyatakan,” jelasnya sambil menegaskan yang FAM dan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sahaja yang boleh menjatuhkan hukuman.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam sebelum ini telah bersuara mengenai isu ini yang mana PBNP yang dikatakan bersalah kerana melanggar Klausa 8.7 sehingga menyebabkan kontrak pemain berusia 26 tahun itu telah terbatal dengan sendirinya.

Terbaharu, beliau berkata yang untuk tidak mengeruhkan lagi keadaan ketika ini, pihak FAM tidak mahu memberi ulasan lagi mengenai isu ini sehingga FIFA membuat keputusan mengenainya di peringkat Majlis Penyelesaian Pertikaian (DRC) FIFA nanti.

KREDIT FEATURED IMAGE: POLICE TERO FC

Baca lagi artikel mengenai Sumareh dan PBNP:

Sumareh Digantung Dua Tahun, Tak Boleh Main Lagi Di Pahang

Mohamadou Sumareh Hilang, Unsur Luar Atau Masalah Dalaman?

Nik Erman: FAM Perlu Tunggu Keputusan FIFA Sebelum ‘Campuri Kemelut’ Sumareh

Leave a Reply