Pengendali berpengalaman, Bojan Hodak boleh dianggap kini sangat mencuri tumpuan buat saingan bola sepak di Indonesia, selepas sentuhannya memastikan kini Persib Bandung menjadi sebagai antara pasukan paling menyerlah dalam saingan Liga 1.
Bojan yang dilantik selaku pengendali Persib Bandung sejak beberapa bulan lalu tidak mengambil masa lama untuk mengubah struktur permainan pasukan tersebut menjadi lebih baik berbanding sebelum ini.
Hasilnya, Persib Bandung yang terdahulu berada di kelompok bawahan liga berjaya menduduki tangga kedua bersama rekod tidak pernah tewas dalam 10 perlawanan berturut-turut.
Malah, Bojan juga berpeluang untuk membaea Persib beraksi di saingan AFC musim hadapan jika konsistensinya bersama pasukan tersebut terus dikekalkan dalam saingan Liga Indonesia selepas ini.
Terbaharu, Persib berjaya mencipta kemenangan 4-1 ketika mereka mengetepikan cabaran PSS Sleman di laman sendiri iaitu Stadium Gelora Bandung Lautan Api (GBLA), Bandung bersama aksi cukup menyakinkan.
Empat gol tersebut dihasilkan menerusi Thales Natanael Lira de Maros, David da Silva, Frets Butuan, serta Beckham Nugraha, dan pelawat hanya memperoleh satu jaringan sahaja melalui Kim Jeffrey Kurniawan.
Kemenangan itu bukan sahaja menjadikan Persib kini tidak tewas dalam 10 perlawanan berturut-turut, malah mereka kini berada di tangga kedua liga bersama 31 mata daripada 17 perlawanan dilalui.
Walaupun cemerlang melakar keputusan tersebut, Bojan mengakui skuad kendaliannya masih lagi mempunyai kelemahan perlu diperbaiki terutama ketika berdepan PSS Sleman.
“Untuk aksi separuh masa pertama, para pemain saya masih lagi melakukan beberapa kesilapan dan membuka ruang buat lawan. Seperti saya pernah katakan, pelawat merupakan satu pasukan sangat berbahaya.
“Jika kami membuat silap, sudah tentu ia akan dieksploitasi pasukan lawan dan itu sebab mengapa mereka berjaya memperoleh satu gol,” kata Bojan menerusi Bola.com.
Pada masa sama, pengendali dari Croatia itu juga tidak pernah merasai sebarang tekanan dan terus fokus ke hadapan untuk mempersiapkan pemain bagi aksi selanjutnya.
“Ya, kami masih belum kalah dalam 10 perlawanan tetapi saya langsung tidak merasa tertekan untuk mempertahankan status tersebut dan fokus untuk saingan seterusnya.
“Malah kami juga tiada sebarang tekanan untuk meneruskan rekod 11 atau 12 perlawanan tidak tewas dengan penuh positif.
“Kami hanya perlu fokus dalam setiap perlawanan dihadapi kerana setiap lawan yang akan kami berdepan tampil dengan pendekatan berbeza. Maka, kami perlu cepat fokus untuk persiapan bagi perlawanan seterusnya yang akan berlangsung beberapa hari lagi,” kata Bojan lagi.