Nilai perpindahan pemain di liga-liga Eropah kini mula mencapai nilai yang sebelum ini sukar untuk dibayangkan ia akan terjadi.
Manchester United mengambil langkah berani dengan membawa masuk Paul Pogba dengan nilai perpindahan tertinggi dunia setakat ini iaitu €105 juta (£89.3 juta).
Ianya membuatkan nilai 100 juta kini dilepasi dan pastinya akan ada lagi perpindahan yang lebih mahal dari itu selepas ini (dengan kemungkinan Kylian Mbappe menjadi pemecah rekod tersebut jendela perpindahan musim panas ini).
Tetapi itu melibatkan pasukan di Eropah di mana setiap kelab yang bertanding mempunyai sumber kewangan yang kukuh untuk menyokong sebarang nilai perpindahan yang besar.
Bagaimana pula dengan pasukan-pasukan yang bertanding dalam liga di negara kita sendiri? Mungkinkah terjadinya perpindahan dengan nilai besar di sini?
Perpindahan Ghaddar pecah tradisi
Jika di Eropah nilai 100 juta telah dilepasi, di liga kita kini nilai 1 juta telah dilepasi.
Mohammed Ghaddar, Kelantan dan JDT telah menjadi pencetus kepada evolusi ini apabila perpindahan bernilai RM1.4 juta Ghaddar dari Kelantan ke JDT kini menjadi penanda aras sebagai nilai perpindahan tertinggi dalam liga tempatan hingga setakat ini.
Bukan setakat menjadi pemain paling mahal dalam liga kita kini, Ghaddar juga menjadi pemain dengan gaji tertinggi dalam sejarah perpindahan Liga Malaysia.
Meskipun tiada nilai yang jelas tentang bayaran yang diterima Ghaddar tetapi tidak mustahil pemain berusia 33 tahun ini merupakan pemain dengan nilai gaji paling tinggi di liga negara kita kini.
Impak Perpindahan Ghaddar
Jika sebelum ini peminat bola sepak negara mempersoalkan bayaran yang diterima pemain yang beraksi di liga tempatan tidak setanding dengan aksi yang dipamerkan mereka, mungkinkah selepas ini timbulnya satu lagi rungutan berkaitan nilai perpindahan pemain?
Melihat kepada trend yang pernah terjadi sebelum ini tidak mustahil hal itu akan terjadi.
Hal ini cukup sinonim dengan kata pepatah “guru kencing berdiri anak murid kencing berlari” yang sering berlaku dalam masyarakat negara kita.
Meninjau Impak di Premier League
Jika mahu melihat dengan jelas apakah kesan nilai perpindahan yang begitu tinggi ini kepada keseluruhan kelab yang bertanding dalam sesuatu liga, mungkin Premier League (PL) merupakan medan terbaik.
Kelab-kelab PL dengan pemilik yang mampu membekalkan belanja besar ketika musim perpindahan pemain menyebabkan kelab-kelab kecil juga sederhana berasa ketinggalan dari segi perebutan pemain ketika jendela perpindahan berlangsung.
Lihat sahaja kepada nilai perpindahan pemain yang hangat diperkatakan di media massa sekarang ini. Nilai yang dulunya dilihat sebagai nilai terbesar dunia bagi sesuatu perpindahan kini menjadi nilai yang biasa untuk kelab-kelab kaya ini.
Dua perpindahan yang dilakukan Manchester City setakat ini melibatkan nilai perpindahan sekitar harga £40 juta dan nilai ini jugalah yang bakal menjadi penanda aras untuk kelab-kelab luar PL ketika berurus niaga dengan kelab PL lainnya.
Persoalannya, mampukah kelab kecil seperti Huddersfield mengekalkan kedudukan mereka di PL untuk musim 2018/19 sekiranya saingan di PL kini dipenuhi pemain berbakat besar yang dibawa masuk dengan nilai yang tinggi?
Dan adakah perkara ini selayaknya diteladani pula oleh pasukan-pasukan di negara kita setelah aspek gaji besar untuk pemain menjadi ikutan sebelum ini?
Kesimpulan
Mungkin pepatah “ukur baju di badan sendiri” boleh direnungkan pengertiannya seterusnya diaplikasikan dalam pengurusan pasukan bola sepak di negara kita jika ingin lakukan perpindahan Liga Malaysia.
Ini terutamanya melibatkan nilai perpindahan dan juga bayaran gaji kepada pemain. Jangan disebabkan mahu bergaya seperti orang kaya tetapi hakikatnya poket kempis tidak berisi.
Renung-renungkan.
Nota editor: Artikel ini merupakan hasil tulisan Nora Wahid. Jika anda mahu tulisan anda dibaca oleh jutaan rakyat Malaysia, hantar artikel 300 patah perkataan dalam format MS Word ke [email protected] .