Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Selepas saban tahun gagal menyerlah bersama beberapa pasukan, akhirnya penyarang Kelantan, Nurshamil Abd Ghani berhasil membuktikan keupayaan sebenarnya pada musim ini.
Nurshamil yang memulakan kariernya bersama PKNS pernah menempa nama bersama Melaka United dengan muncul selaku penjaring terbanyak Liga FAM dan membantu pasukan negeri kelahirannya itu naik ke Liga Premier dan seterusnya Liga Super.
Nurshamil dijulang slps Melaka United layak ke saingan Liga Perdana #melaka https://t.co/TCjgHFL2nt pic.twitter.com/qlFrv2Ku76 @TheDeanFara
— Miss Anne (@dreamworld551) August 24, 2015
Kemudian penghijrahannya ke Selangor, Selangor United dan Pulau Pinang tidak memberikan hasil yang diharapkan kerana persaingan dengan pemain import yang lebih menjadi pilihan jurulatih.
Akhirnya beliau berjaya memikat barisan kejurulatihan Kelantan yang diketuai Marco Ragini untuk membawanya membuka lembaran baharu dalam kariernya bersama pasukan dari pantai timur itu.
Mengikut rekod, Nursyamil telah diturunkan dalam semua empat perlawanan dengan tiga kali sebagai pemain gantian dan berjaya meledak dua jaringan setakat ini bagi membantu Kelantan meraih tujuh mata selepas empat perlawanan.
Situasi itu memberikan banyak perkara positif buat Nurshamil selain turut meletakkan azam mahu membuktikan penyerang tempatan juga boleh bersaing dengan penyerang import.
“Ini satu permulaan yang cukup baik bersama Kelantan dan lega rasanya masih punyai rentak untuk menjaringkan gol dan harap keadaan ini mampu berterusan sebagai detik kebangkitan kepada karier saya,” katanya kepada Media MFL.
“Dua musim sebelum ini saya sukar mendapatkan minit yang banyak untuk bermain dan di Kelantan, saya gembira kerana Marco (Ragini) memberikan peluang saya beraksi lebih kerap.
“Walaupun banyak masuk pemain gantian setakat ini, Marco ada berkata kepada saya, dia bersedia untuk menggunakan saya dalam kesebelasan utama jika tahap kecergasan sudah berada di tahap terbaik.
“Saya mahu tunjukkan penyerang tempatan juga boleh bersaing dengan penyerang import walaupun ada yang berkata mustahil untuk bersaing dengan mereka bagi merebut tempat.”
Nurshamil juga mengakui Marco banyak memahami cara permainannya serta lebih gemar menggunakan taktikal meletakkan dua penyerang dan situasi itu juga sedikit sebanyak membantu terhadap prestasinya bersama Kelantan, buat masa ini.
Tambahnya, sikap terbuka Marco menjadikan dia sentiasa mahu berikan yang terbaik di atas padang dan berasakan pilihannya untuk bersama Kelantan pada musim ini adalah tepat.
“Selepas kontrak saya ditamatkan dengan Pulau Pinang, pihak Kelantan terus menghubungi saya dan saya menjalani latihan percubaan selama dua hari dan Marco terus berminat untuk mengambil saya,” katanya lagi.
“Buat masa ini, saya selesa bekerja dengan Marco serta memahami cara bola sepak yang mahu diterapkan, malah dia selalu berbincang dengan saya mengenai soal taktikal.
“Biarpun masa ini menggunakan formasi 4-1-4-1 kerana pasukan mempunyai ramai pemain muda, namun apabila dia menggunakan taktikal dua penyerang, Marco akan memasukkan saya untuk bergandingan dengan Jack Hindle.
“Taktikal meletakkan dua penyerang nyata memberikan ruang saya untuk bermain dan saya harap apabila liga kembali bersambung nanti, saya akan berada di tahap prestasi yang lebih baik.”
Kredit Foto: Kelantan FC
Page Semuanya BOLA yang lama kini sedang menghadapi masalah. Jadi untuk terus membaca artikel-artikel menarik dan berkualiti, jangan lupa like dan follow page baharu Semuanya BOLA (fb.com/semuanyabolaofficial) dan siaran Telegram (t.me/mysemuanyabola).
Baca juga artikel kami yang lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan: