Pernah Cipta ‘Sensasi’ Pada 2003, Haris Safwan Kini Bersama Pulau Pinang

Haris Safwan Pulau Pinang Liga Premier 2020

Masih ingat dengan Haris Safwan Kamal? Pemain pertama di Malaysia yang dibawa menaiki helikopter untuk ke perlawanan penting pasukan yang diwakilinya pada musim 2003, iaitu MPPJ FC.

MPPJ FC akan berdepan Perlis dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar dan Haris Safwan pula akan melalui peperiksaan akhir di Universiti Malaya (UM).

Pengendali MPPJ FC ketika itu, Dollah Salleh sangat memerlukan kudratnya yang berusia 20 tahun ketika itu. Bercakap kepada wartawan, Dollah Salleh menyatakan kelegaannya apabila melihat Haris Safwan tiba.

Bertolak sejurus tamat peperiksaan akhir semester pertamanya di UM pada jam 5 petang, Haris Safwan tiba di Kangar pada jam 6.50 petang, beberapa jam sebelum sepak mula antara Perlis dan MPPJ FC.

Perlawanan berakhir dengan keputusan seri 1-1, dengan Phillimon Chepita dan Juan Manuel Arostegui berhasil meledak gol. MPPJ FC layak ke final dengan agregat 4-2, seterusnya menjulang Piala Malaysia 2003, selepas menang 3 gol tanpa balas dengan Juan Manuel Arostegui telah meledak hatrik.

Pemain yang pernah memenangi Kasut Emas di Liga Perdana 2007 dan 2009 itu pada awalnya telah memohon untuk membuat peperiksaanya di Kangar, namun permohonannya telah ditolak oleh UM.

Wan-Rohaimi-Pulau-Pinang-Piala-Presiden-2020
Pengendali skuad Piala Presiden Pulau Pinang, Wan Rohaimi. FOTO: FA Penang

Untuk memandu daripada UM ke Kangar, ia akan memakan masa lebih lima jam, sementara menaiki pesawat akan membawanya terlebih dahulu akan mendarat di Lapangan Terbang Alor Setar, Kedah.

Tiada pilihan lain dengan kudratnya tetap ditagih MPPJ FC dan akhirnya mereka menyewa helikopter khas untuk ‘menerbangkan’ Haris Safwan daripada Petaling Jaya, Selangor terus ke Kangar, Perlis.

Kini, ianya telah menjadi sebahagian daripada sejarah dan Haris Safwan sudah bergelar jurulatih pada 2018 hingga April 2019 bersama Banggol Tokku FC yang kini dijenamakan semula sebagai KT Rovers.

Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) baharu sahaja mengumumkan yang Haris Safwan akan membantu Wan Rohaimi Wan Ismail yang telah dilantik sebagai pengendali skuad Piala Presiden.

Wan Rohaimi juga tidak asing sebagai pemain di Pulau Pinang apabila pernah memenangi Piala Sumbangsih 2003 dan sebelum ini bertugas di Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP).

Pengalaman luas kedua-dua jurulatih ini pastinya akan ditagih oleh FAP untuk menaikkan kembali pasukan remaja mereka yang kali terakhir bergelar juara pada tahun 2004 menewaskan Johor FA.

KREDIT FOTO: FA Penang

Leave a Reply