Meskipun dilanda pelbagai kontroversi mengenai isu tunggakan gaji, Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) terus melangkah ke hadapan apabila memperkenalkan pas bermusim bagi menarik kehadiran penyokong setia mereka di Stadium Tuanku Syed Putra untuk saingan Liga Malaysia musim ini.
Pas bermusim tersebut mempunyai dua pilihan dan penyokong boleh memilih sama ada ‘Platinum Card’ atau ‘Gold Card’ dengan harga bermula daripada RM220 hingga RM460.
Kedua-dua kad tersebut menawarkan tempat duduk astaka (grandstand) dengan pemegang kad juga menikmati manfaat seperti tempat duduk khas bernombor, percuma jersi ‘player issue’, diskaun barang rasmi dan lain2 seperti di dalam poster tersebut.
Menurut kenyataan daripada laman facebook rasmi Northenlions Perlis, para penyokong singa utara boleh mendapatkannya melalui aplikasi Stubapp atau belian secara langsung di stadium bermula jam 10.00 pagi hari ini (Khamis, 24 Januari).
Jersi baharu dilancarkan
Selain, mereka juga telah melancarkan jersi baharu untuk musim 2019 dengan logo pasukan diubah warna kepada biru kuning dan kelihatan lebih kemas daripada sebelum ini. Jersi baharu keluaran SkyHawk itu akan digunakan oleh semua pasukan Perlis Northern Lions untuk musim 2019.
Jersi “home” skuad singa utara ialah berwarna kuning, “away” berwarna biru manakala jersi alternatif berwarna hijau. Jersi-jersi ini juga membawa logo PNL yang telah dikemaskinikan dengan warna kuning biru.
Difahamkan harga jersi tersebut ialah RM69.00 dan boleh didapati mulai hari ini pada pukul 10.00 pagi di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.