FAM Bidas Ugutan Terengganu City Berhubung Tunggakan Gaji Pemain

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) melalui Setiausaha Agung badan induk itu, Stuart Ramalingam membidas pengurusan Terengganu City FC (TCFC) kerana kenyataan berbaur ugutan berkenaan pembayaran gaji pemain.

Perkara itu dinyatakan oleh Stuart melalui satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh FAM semalam.

Kenyataan berbaur ugutan

Sebelum ini, pengurus TCFC, M Rezal Abu Bakar berkata pihak mereka hanya akan membayar tunggakan gaji pemain yang mencecah angka RM977,100 (menurut rekod FAM) sekiranya mereka dibenarkan untuk bertanding di saingan Liga Premier pada tahun ini.

Rezal berkata demikian kerana yakin pasukan itu layak beraksi di divisyen kedua bola sepak negara itu secara merit – setelah muncul juara Piala FAM pada musim lalu.

Pada November lalu, FAM memutuskan TCFC tidak akan beraksi di Liga Premier walaupun muncul juara Piala FAM kerana isu tunggakan gaji pemain dan jurulatih sejak musim lalu.

Terengganu City FC muncul sebagai juara Piala FAM selepas menewaskan Selangor United. FOTO: FAM
Penjelasan FAM

Berikut adalah 20 perkara yang digariskan oleh FAM untuk menjelaskan situasi TCFC dan kemelut pembayaran gaji pemain dan jurulatih membabitkan pasukan itu:

  1. Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada 28 Ogos 2018 telah menghantar surat kepada FAM memaklumkan penarikan balik lesen Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus terhadap TCFC bagi pertandingan Piala FAM 2018 berikutan masalah berlarutan TCFC gagal membayar gaji pemain dan pegawai pasukan, tiga hari menjelang perlawanan separuh akhir kedua Piala FAM 2018 bertemu MOF FC.
  2. FAM kemudian telah memanggil wakil daripada PBSNT dan TCFC bagi membincangkan hal berkenaan dan pada 30 Ogos 2018, FAM menerusi budi bicara telah membuat keputusan menangguhkan penarikan balik lesen berkenaan dan membenarkan TCFC terus beraksi pada separuh akhir kedua Piala FAM 2018 itu dan seterusnya final, namun dengan syarat Aku Janji yang telah ditetapkan.
  3. Surat daripada FAM kepada TCFC bertarikh 30 Ogos 2018 bertajuk ‘Aku Janji Bertanggungjawab Terhadap Kos Perbelanjaan Dan Tunggakan Yang Ditanggung Oleh Kelab Bolasepak Terengganu City’ menyatakan bahawa TCFC telah disyaratkan untuk memberi Aku Janji kepada FAM bahawa kelab tersebut bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar semua hutang yang ditanggung TCFC serta akan menghormati dan mematuhi setiap keputusan yang dibuat atau akan dibuat oleh Jawatankuasa Status FAM dan/atau Kamar Penyelesaian Pertelingkahan Kebangsaan FAM (NDRC FAM) berkaitan dengan tunggakan gaji dan pembayaran pampasan kepada bekas pemain mereka.
  4. Surat berkenaan disertakan dengan Aku Janji tersebut yang ditandatangani oleh Ahli Jawatankuasa Eksekutif TCFC dan Setiausaha TCFC sebagai bukti persetujuan.
  5. Turut dilampirkan bersama surat berkenaan ialah surat jaminan daripada pihak penaja TCFC iaitu Tulangis Maju kepada Persatuan Bola Sepak Daerah Kuala Nerus pada 23 Januari 2018 menyatakan ucapan terima kasih kerana kelulusan dan kebenaran menggunakan lesen persatuan itu bagi saingan Piala FAM 2018 dan turut memaklumkan bahawa segala perbelanjaan dan kos-kos berkaitan TCFC sepanjang tahun 2018 akan ditanggung sepenuhnya oleh Tulangis Maju.
  6. Selepas selesai Final Piala FAM 2018, TCFC bertemu Selangor United pada 6 September 2018 yang mana TCFC berjaya muncul juara, FAM pada 12 September 2018 telah menghantar surat kepada TCFC untuk kelab berkenaan segera menyelesaikan masalah tunggakan gaji selewat-lewatnya pada 29 September 2018.
  7. Surat berkenaan turut menyatakan bahawa semua hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan deposit penyertaan berjumlah RM355,000 yang dimiliki TCFC dengan sendirinya akan dibekukan sehingga semua hutang telah dijelaskan oleh TCFC pada tarikh yang telah ditetapkan itu.
  8. Bagaimanapun selepas Aku Janji dibuat dan tarikh pembayaran juga ditetapkan, TCFC tetap berdegil untuk membuat pembayaran tersebut, malah turut dilaporkan bertindak memberikan cek tendang dan mengugut pemain serta pegawai pasukan dalam hal penyelesaian tunggakan gaji itu.
  9. Pada 20 November 2018, wakil TCFC telah menghubungi FAM untuk mengadakan perjumpaan secara kasual bagi mendapatkan maklumat berhubung kes-kes tunggakan gaji membabitkan pasukan itu. Dengan niat untuk membantu TCFC, FAM bersetuju untuk mengadakan perjumpaan tersebut pada 21 November 2018 di Wisma FAM, Kelana Jaya.
  10. Namun FAM mengambil keputusan membatalkan perjumpaan itu selepas mendapat tahu menerusi media sosial bahawa pihak TCFC turut ingin mengadakan perjumpaan dengan pemain dan pegawai pasukan mereka di Wisma FAM pada hari yang sama dengan juga menjemput kehadiran media. Pembatalan itu dibuat kerana FAM tidak mahu berlakunya konfrontasi yang tidak diingini di antara mereka di Wisma FAM.
  11. Pada 22 November 2018, FAM telah menghantar surat kepada TCFC mengingatkan mereka bahawa semua komunikasi dengan FAM perlu dihantar salinan kepada PBSNT untuk perhatian mereka.
  12. Pada 25 November 2018, TCFC telah menghantar surat kepada FAM memohon secara rasmi untuk mengadakan perjumpaan dan pada 28 November 2018, FAM membalas surat berkenaan dengan menetapkan tarikh perjumpaan tersebut pada 5 Disember 2018.
  13. Namun pada 4 Disember 2018, TCFC sendiri telah menghantar e-mel kepada FAM untuk membatalkan perjumpaan tersebut.
  14. Pada 13 Disember 2018, FAM telah menerima surat rayuan daripada TCFC untuk membenarkan mereka beraksi pada Liga Premier 2019 tetapi FAM membalas bahawa tiada apa-apa lagi perbincangan berhubung isu ke Liga Premier 2019 dan TCFC diminta menyelesaikan hutang mereka sebelum atau pada 19 Februari 2019.
  15. Selepas agak lama menyepi, tiba-tiba minggu ini, TCFC mengugut pula FAM dengan membuat syarat mereka sendiri iaitu jika FAM beri TCFC kebenaran bermain di Liga Premier 2019, barulah mereka akan membayar segala hutang dan tunggakan gaji tersebut.
  16. Justeru, FAM dengan ini tetap berpendirian untuk tidak membenarkan TCFC beraksi di Liga Premier 2019 kerana sudah tentu wujud kebimbangan masalah tunggakan gaji yang sama akan berulang berdasarkan rekod janji-janji yang telah dibuat oleh TCFC sebelum ini.
  17. Oleh itu, dengan mengambil kira bebanan kewangan yang ditanggung oleh bekas pemain dan pegawai pasukan TCFC dan jikalau pada 19 Februari 2019 TCFC masih belum menjelaskan tunggakan gaji dan wang pampasan, FAM akan menggunakan hadiah wang tunai selaku juara, wang insentif peringkat kumpulan dan wang deposit penyertaan TCFC yang dibekukan sebelum ini untuk menyelesaikan sebahagian hutang TCFC.
  18. Berdasarkan perkiraan yang dibuat, seramai 23 orang pemain dan pegawai akan mendapat wang tunggakan gaji berkenaan secara pro rata yang akan dibayar oleh FAM terus kepada pemain dan pegawai terbabit.
  19. Namun begitu, TCFC tidak boleh terus bersikap lepas tangan dan masih tetap perlu menjelaskan baki hutang yang ada kepada pemain dan pegawai tersebut, jika mereka tidak mahu menerima implikasi yang lebih besar selepas ini.
  20. Perlu diingatkan, apabila PBSNT dan Persatuan Bolasepak Daerah Kuala Nerus menarik balik lesen kebenaran terhadap TCFC itu, maka FAM secara tidak langsung tidak lagi mengiktiraf TCFC sebagai sebuah kelab yang diberikan kebenaran untuk bertanding.
Penutup

Apakah langkah yang akan diambil oleh pihak pengurusan Terengganu City selepas ini setelah beberapa ingatan sebelum ini seperti mencurah air ke daun keladi?

Sejauh mana pula ketegasan FAM di dalam menangani pasukan-pasukan yang culas menunaikan tanggungjawab mereka terhadap kebajikan asas pemain ini?

Bola sepak kita sudah parah dengan isu gaji. Jangan biarkan ianya terus membunuh.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN