Perlis, ‘Giant Killer’ Yang Menjadi Kegerunan Mana-Mana Pasukan Satu Ketika Dahulu

Apabila anda berkata, Perlis pernah pasukan yang hebat satu ketika dahulu, ‘budak-budak’ sekarang menganggap kita sedang buat kelakar dan ada yang membuka google untuk sahkan fakta ini.

Mana-mana pasukan yang dianggap kuat ketika itu apabila bertemu Perlis, terutama sekali pada perlawanan kalah mati pasti tidak akan senang duduk, kerena reputasi Singa Utara ini yang kerap mencakar lawannya.

Perlis Singa Utara

Indah dan garang nama itu dan kerap dicanang serta diteriak oleh pengulas di TV. Nama yang asyik ke final satu ketika dahulu. Berbeza sungguh dengan hari ini apabila populariti harum manis lebih dituturkan berbanding bola sepak Perlis.

Dahulu bola sepak Perlis mewarnai dada akhbar dengan cerita kehebatan dan pakej kejutan yang mereka berikan kepada penonton. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, topik bola sepak Perlis lebih kepada isu kesukaran pengurusan, masalah dana, masalah prestasi, dan segala macam lagi masalah.

Mereka antara pasukan yang berada dalam senarai keluarga juara liga utama setakat ini, bersama-sama dengan 7 lagi pasukan lain sejak liga dijenamakan semula pada 2004 sebagai Liga Super.

Era selepas milenia, kita menyaksikan kehebatan pasukan ini menjadi ‘giant-killer’ yang merobek ego pasukan yang besar di Malaysia.

Bangunnya Sang Singa pada 2004

Dari tahun 2004-2008, mereka mara sebanyak 6 kali dalam pentas Piala Domestik (cup competitions – Piala Malaysia dan piala FA). 2 Piala Malaysia dibawa balik pada 2004,2006.

Nasib tidak menyebelahi mereka dalam Piala FA. Tewas kesemua 3 final, 2003, 2006, 2007. 3 Kali beraksi dalam perebutan Piala Sumbangsih. 2 daripadanya dibawa pulang ke Perlis.

Romantisme Perlis dan Piala Malaysia

Kisah menarik adalah mereka mara 3 kali berturut-turut ke pentas final Piala Malaysia pada 2004,2005,2006. Negeri yang kecil tetapi pasukan bola sepak mereka sangat digeruni.

Perlis adalah pasukan yang berjuang dengan cara bola sepak mereka sendiri. Perlis kerap hadir dengan status ‘underdog’ dengan tekanan sangat rendah di dalam padang.

Era Norizan Bakar pada 2004, adalah antara titik tolak penting dalam sejarah pasukan Perlis. Pasukan yang dibarisi nama-nama seperti:

Yusri Che Lah yang dibawa masuk dari Perak. Zainuddin Ariffin dan Manzoor Azwira Abdul Wahid yang dibawa masuk dari Kedah.

Tidak lupa nama seperti Mohd. Khairi Zainuddin, Mohd. Faizal Esahar, Tengku Hazman Raja Hassan, Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein, Adrien Jurad Chamrong, Amran Omar, Mohd, Anis Faron Arsidi, Mohd. Nazaruddin Zain, Rafiz Abu Bakar, Roslee Md. Derus, Feriza Ismail dan Azizi Mat Rose.

Barisan import mereka diperkuatkan oleh Joao Bandoch dan pemain sensasi Phillimon Chipeta.

Piala Malaysia 2004

Musim 2004 mereka berjaya mengakhiri penantian yang cukup lama untuk penyokong Perlis melihat Singa Utara menjulang Piala Malaysia.

Sepanjang malam Phillemon Chipeta dan Lamin Conte didiamkan oleh pertahanan berprofil tinggi dalam sejarah Liga M, Bernard Huggin dan Victor Andraag.

Namun, dengan satu lontaran misil dari Adrien Jurad Chamrong yang menewaskan penjaga gol Megat Amir Faisal terus mentutup cerita kehebatan dominasi Kedah dan kisah bek Kenari merantai penyerang berbisa Perlis di dalam perlawanan ini.

https://www.youtube.com/watch?v=kmlN6zZz_Bg

Perlis juara dengan kemenangan 1-0. Anda rasa ia kebetulan? Atau memang lontaran Jurad Chamrong antara ancaman bahaya ketika itu? Nanti kita bincangkan lagi akan hal ini.

Daripada giant killer mereka sendiri menjadi gergasi

Pada 2005, Perlis mengekalkan majoriti skuad 2004. Ini yang telah mewujudkan konsistensi di dalam pasukan. Dipetik dari pasukanbolasepakperlis.blogspot.my:

“Seramai 13 pemain Singa Utara musim lalu yang hadir ialah Adrien Jurad Chamrong, Amran Omar, Yusri Che Lah, Mohd. Anis Faron Arsidi, Mohd. Nazaruddin Zain dan Rafiz Abu Bakar.”

“Turut serta Manzoor Azwira Abdul Wahid, Mohd. Khairi Zainuddin, Rusfazly Rahman, Roslee Md. Derus, Es Lizuan Zahid Amir, Azizi Mat Rose dan Zainuddin Ariffin.”

“Beberapa pemain Perlis yang belum menandatangani kontrak ialah Mohamad Kaironnisam Shahabudin Hussein yang kini mewakili pasukan kebangsaan, Feriza Ismail dan Mohd. Shahabuddin Kadir.”

“Sementara itu, menurut Shahidan, khidmat dua pemain import Perlis iaitu Phillemon Chipeta dan Joao Bandoch dijangka dikekalkan.”

2005 adalah testimoni sebenar kegemilangan bola sepak Perlis di negara kita. Singa Utara menjadi juara Liga Super pada 2005.

Setiap pasukan yang mahu melengkapkan sejarah kegemilangan mereka, hendaklah ada koleksi Liga Utama dalam kabinet mereka.

Perlis sudah menepati piawaian itu ketika itu. Bukan mudah untuk menjuarai liga. Ia tidak sama dengan ‘cup competitions’. Kejuaraan liga menuntut konsistensi, ketahanan dan juga pengurusan pasukan yang cekap.

10 mata mereka meninggalkan Pahang di tangga ke-2 dan 15 mata dari pasukan di tangga ke-3 Perak.

Inilah senarai kedudukan Liga Super 2005:

1. Perlis
2. Pahang
3. Perak
4. Sabah
5. MPPJ
6. Pulau Pinang
7. Public Bank
8. Telekom Melaka

Di mana pasukan-pasukan tersebut sekarang?

Pada awal musim mereka hampir menewaskan Perak dalam perebutan Piala Sumbangsih. Namun kalah 4-2 dalam penentuan penalti selepas seri 2-2.

Akhir musim mereka mara ke final Piala Malaysia sekali lagi. Dalam misi mempertahankannya. Namun tewas 3-0 di tangan pasukan ’emas’ Selangor dalam final Bambang Pamungkas.

Musim 2006

Musim 2006 (2005/06), mereka mara sekali lagi ke perlawanan akhir Piala Malaysia. Kali ini mereka menebus kekecewaan di tangan Selangor dengan menewaskan pasukan Negeri Sembilan 2-1.

Final kali ini. lontaran jauh Jurad Chamrong sekali lagi menjadi. Kali ini ia menghasilkan bantuan gol kepada gol kepada Chipeta.

Ini adalah jawapan kepada anda yang rasakan lontaran Jurad Chamrong pada final Piala Malaysia 2004 adalah nasib. Ia lebih kepada kualiti teknikal.

Perlis menang 2-1. Simukonda penjaring gol kedua Perlis. Christian Bekamenga menjaringkan gol tunggal Negeri Sembilan.

Mereka turut beraksi dalam final Piala FA 2006, namun tewas dalam penentuan penalti 4-2 di tangan Pahang.

Musim 2007

Musim 2007, mereka memulakan kempen dengan menjulang Piala Sumbangsih. Mereka mempertahankannya pada musim 2008. Musim 2009, mereka berjaya menduduki tempat ke-2 dalam Liga Super.

Singa Utara diserang barah!

Namun entah mengapa. Perlis kemudian merosot teruk. Pada musim 2011 mereka tersingkir ke Liga Premier untuk musim 2012. Mereka pernah beraksi di Liga FAM pada 2015. Liga yang tidak sepatutnya untuk mereka beraksi.

Ego pasukan Perlis calar. Namun mereka bangkit dari Liga FAM dan layak ke Liga Premier. Peminat mereka sangat kecewa dengan penstrukturan yang lemah oleh badan bola sepak mereka.

Projek ‘Harapan’ 2016

Musim 2016, mereka cuba bangkit dengan perbelanjaan besar mendapatkan khidmat bekas jurulatih kebangsaan Dollah Salleh. Membawa masuk beberapa nama yang dianggap besar. Tetapi mereka lupa yang nama seperti:

Sumareh, Kayne Vincent, Obinna Nwaneri, Mohd Afif Amiruddin, Saiful Amar Sudar dan ramai lagi dengan kos yang agak tinggi untuk pasukan Liga Premier.

Beberapa pemain lain turut pernah menyarung jersi mereka untuk seketika seperti Damion Stewart, Charles Chad Souza dan Park Yong-joon.

Ramai berpendapat, mereka membentuk pasukan setaraf liga Super. Ramai juga yang meramalkan mereka akan layak ke Liga Super dengan mudah. Hasilnya sangat menghampakan. Mereka hanya mampu menamatkan liga di tangga ke-6.

‘Projek Harapan’ yang menjadi ‘Projek Harapan Palsu’.

Cerita Musim 2017

Musim ini mereka terus bergelut. Menang 2, Seri 3 kali dan sudah kalah 9 kali daripada 14 perlawanan awal Liga Premier.

Harapan untuk ke Liga Supers seakan-akan tertangguh sekali lagi. Misi mereka kini untuk kekal di Liga Premier. Ditolak 6 mata dan dikembalikan 3 mata selepas itu.

Masih mencari identiti

Itulah kisah bola sepak Perlis dari era kegemilangan mereka di antara pertengahan dekad antara 2000-2010. Mereka berhadapan kejatuhan drastik pada 2012 dan mereka tidak ada formula menanganginya.

Pasukan Perlis kini seakan-akan berhadapan dengan krisis identiti dan hilang karakter dalam jiwa pemain merek. Mana perginya semangat pasukan Perlis yang berjiwa besar seperti satu ketika dahulu?

Bagi generasi muda hari ini, nama Perlis FA hanyalah tempelan dalam liga Malaysia. Namun bagi orang yang melalui detik Liga Malaysia fasa Milenia, pasukan ini berhak untuk dihormati dan kerap membuatkan penyokong lain kecewa.

Bagi pemain Perlis yang sedang menyarung jersi Perlis yang ada pada hari ini, jadikan sejarah pasukan ini sebagai pembangkit semangat. Jangan jadikan ia sekadar sejarah untuk dikenang.

Jika ada pemain Perlis hairan kenapa penyokong mereka marah dengan prestasi pasukan mereka sekarang, kisah inilah jawapannya.

Satu ketika dahulu, lagenda-lagenda ini membina kegemilangan bola sepak Perlis, tetapi sayangnya generasi selepas itu gagal, sekurang-kurangnya untuk beraksi dalam liga utama.

Mana semangat kamu dalam jersi Singa Utara?

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN