Perlawanan Akhir TM Piala Malaysia 2017, Antara Yang Terbaik Pernah Dianjurkan

Football Malaysia LLP (FMLLP) telah memilih Stadium Shah Alam sebagai gelanggang perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 yang diadakan pada tanggal 4 November yang lalu.

Pada awalnya, badan penganjur berkenaan merancang mengadakan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, namun terpaksa melupakan hasrat berkenaan setelah stadium berkenaan telah ditempah terlebih awal untuk acara lain.

Oleh kerana itu, stadium kedua terbesar dengan kapasti 80,000 penonton menjadi pilihan. Venue ini bukanlah venue yang asing untuk penganjuran perlawanan akhir pertandingan bola sepak tempatan.

Ikuti pasca nilai kami sebagai wakil media yang turut memerhati perjalanan penganjuran perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017.

FMLLP berjaya melakukan penambahbaikan

Penganjuran perlawanan akhir TM Piala Malaysia pada kali ini boleh dianggap telah berjalan dengan jayanya; juga merupakan antara perlawanan akhir terbaik yang pernah penulis hadiri.

Disebalik kata-kata negatif yang sering dilemparkan kepada FMLLP, kali ini kami berpendapat badan penganjur itu telah melaksanakan tugas mereka dengan sebaik mungkin.

1. Kerjasama dengan PDRM

Kerisauan pertama penulis apabila Stadium Shah Alam disahkan sebagai venue perlawanan akhir Piala Malaysia edisi 2017 ialah berkenaan dengan aliran trafik menuju ke venue.

Penyokong kedua-dua pasukan dikatakan telah berkampung di perkarangan stadium sejak petang hari sebelumnya. Suasana di perkarangan stadium turut meriah seawal jam 9am dengan kehadiran ribuan penyokong dari Kedah dan juga Johor Darul Ta’zim (JDT).

Kredit: FMLLP, Facebook.

Traffik di Lebuhraya Persekutuan sudah mulai sesak seawal jam 12 tengah hari dari kedua-dua arah menuju ke Shah Alam. Namun demikian, FMLLP wajar dipuji kerana bekerjasama erat dengan pihak PDRM dalam mengawal arus trafik menjelang sepak mula perlawanan.

Selepas melepasi Tol Batu 3, Shah Alam, penulis hanya memerlukan masa sekitar 15 minit untuk sampai ke kawasan letak kereta yang disediakan khas untuk media.

Kelancaran traffik di sekitar bandaraya Shah Alam yang sesak disebabkan kehadiran ribuan kenderaan, dibantu oleh kehadiran pihak polis trafik yang sentiasa hadir mengawal keadaan.

Untuk ini, penulis mengucapkan tahniah buat PDRM dan FMLLP. Perjalanan pergi dan balik sebelum dan selepas perlawanan telah dimudahkan. Dan ini tidak mungkin akan terjadi tanpa perancangan rapi daripada FMLLP dan juga PDRM.

Menyentuh bidang kuasa PDRM, kita tidak akan lari daripada menyentuh isu keselamatan. Kehadiran anggota polis di sekitar stadium turut berjaya mengawal ribuan penyokong yang hadir, sekaligus mengelakkan provokasi dan insiden yang tidak diingini daripada berlaku.

Kami turut difahamkan sejumlah 80 sukarelawan turut dipanggil dan dilatih untuk mengawal keadaan bagi menghadapi perlawanan akhir Piala Malaysia pada kali ini.

Kredit: FMLLP, Facebook

Mereka terdiri dari remaja lepasan SPM, pelajar universiti serta pelbagai peringkat lapisan umur; diberikan tugas masing-masing untuk membantu dalam bidang pertandingan, media, operasi, serta melancarkan perjalanan penganjuran perlawanan akhir kali ini.

Sukarelawan ini diberi elaun tugasan, makan dan minum serta t-shirt percuma oleh FMLLP.

2. Program dan aktiviti untuk penyokong

Menjelang hari sebelum perlawanan, pihak petugas sudah mulai sibuk membuat persiapan di sekitar stadium. Ini untuk memastikan penyokong yang hadir awal ke venue mempunyai aktiviti dan pengisian menjelang sepak mula.

Secara tidak langsung, ia turut akan memeriahkan lagi suasana perlawanan akhir yang seolah-olah sebuah karnival. Tidak hairanlah program yang diadakan tersebut dinamakan sebagai Karnival Fiesta Bola.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Pelbagai aktiviti diadakan seperti pertandingan street soccer, permainan video komputer, acara timbang bola, juga acara nyanyian seperti mini konsert yang turut dijayakan oleh beberapa artis dan selebriti tempatan terkenal.

Kami turut difahamkan peminat-peminat cilik yang bertuah akan dipilih dan dibawa untuk melihat sendiri keadaan semasa ‘behind the scene’  di bilik persalinan pemain dan sekitar stadium sebelum sepak mula perlawanan.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Bagi penyokong yang sudah berada di dalam stadium, mereka turut dihiburkan oleh beberapa artis terkenal tanah air seperti Aina Abdul dan juga Black sebelum Jaclyn Victor tampil dengan lagu ‘Gemilang’ tatkala Piala Malaysia diarak mengelilingi stadium.

Malah tempoh rehat separuh masa turut tidak dirasai dengan karenah penyokong terpilih untuk beraksi dalam perlawanan ‘Bubble Football’, yang turut menawarkan hadiah lumayan berupa sebuah telefon bimbit Samsung S8 buat setiap pemenang.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Aktiviti di Karnival Fiesta Bola diadakan dengan kerjasama Telekom Malaysia, 100Plus, Media Prima, MSR dan juga Dcode Dunia Juara sebagai sebagai sebahagian daripada penaja perlawanan akhir pada kali ini.

Aktiviti-aktiviti sebegini bukan sahaja untuk dijadikan pengisian sebelum sepak mula. Malah ianya adalah medium pengikat ukhwah di kalangan penyokong dari kedua-dua buah pasukan yang hadir.

Sekali lagi, syabas dan tahniah buat FMLLP untuk segala program yang diadakan sepanjang perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun ini.

3. Keperluan media

Sebagai pengamal media, tugas di perlawanan akhir TM Piala Malaysia secara rasmi akan bermula menjelang sidang media iaitu sehari sebelum perlawanan yang dijadualkan di Bilik Media, Stadium Shah Alam.

Berdasarkan tentatif program yang diedarkan kepada wakil media, sidang media berkenaan bermula sekitar 3:30pm.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Namun demikian, berlaku sedikit kelewatan; berkemungkinan disebabkan oleh mesyuarat pengelolaan oleh penganjur bersama wakil pasukan yang bertanding dan akhirnya sidang media berkenaan bermula selepas 4pm.

Sidang media berjalan dengan lancar. Namun demikian beberapa penambahbaikan boleh dilakukan, terutama tempat duduk wakil media yang tidak mencukupi ketika sidang berlangsung.

Walaupun ianya kelihatan remeh, namun ia kelihatan janggal jika terdapat wakil media dari luar negara turut hadir dan terpaksa duduk di lantai untuk menunggu sidang media tersebut bermula.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Menjelang hari perlawanan, pegawai FMLLP turut berada sepanjang masa di ruang media, terutama untuk membantu secara teknikal keperluan berkenaan sambungan dan capaian internet.

Secara keseluruhan, penulis berpuas hati dengan capaian internet yang disediakan oleh penganjur untuk kegunaan media sepanjang perlawanan.

Menjelang sepak mula perlawanan, pihak media turut disajikan dengan makan malam ala buffet. Minuman turut disediakan dan ditaja oleh 100 plus, dan wakil media boleh mengambil makanan dan minuman secara free flow.

Kredit: FMLLP, Facebook.

Satu perkara yang boleh ditambah baik oleh pihak FMLLP pada masa hadapan ialah memperuntukkan pass letak kereta di kawasan stadium kepada semua pengamal media.

Untuk rekod, pengamal media memperolehi pass tempat letak kereta ketika perlawanan akhir Piala FA 2017, dan tidak semua pengamal media memperolehi kemudahan yang sama pada perlawanan akhir Piala Malaysia pada kali ini.

Rakan media daripada BERNAMA dilihat terpaksa membawa peralatan media seperti kamera dan sebagainya yang agak berat daripada ruang letak kereta yang agak jauh.

4. Isu pengagihan tiket perlawanan dan insuran

Tiket perlawanan telah diagihkan sama rata di kalangan 2 pasukan yang bertanding dengan 30,000 tiket dewasa dan 750 tiket kanak-kanak  diagihkan kepada setiap persatuan dan kelab yang bertanding.

Manakala 10,000 tiket lagi dijual secara atas talian secara sama rata kepada setiap kumpulan penyokong, termasuk 2000 lagi untuk penonton neutral.

Gambar kredit: Kedah FA

350 keping tiket VIP turut dijual dengan harga pakej RM150 kepada mereka yang berminat. Dari pihak FMLLP, kami berpendapat pengagihan tiket untuk perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 telah dilakukan dengan adil.

Malah untuk memastikan ketelusan pembahagian tiket, wakil kelab penyokong dari kedua-dua pasukan bertanding turut dipanggil untuk menyaksikan proses agihan.

Usaha oleh FMLLP berkenaan turut mendapat reaksi positif daripada wakil kelab penyokong yang hadir. Selepas agihan, tiket fizikal akan menjadi tanggungjawab FA dan kelab masing-masing untuk dijual di kaunter stadium masing-masing.

Kredit: Utusan Malaysia

Tiada permasalahan untuk penjualan tiket di Larkin dilaporkan. Namun di Alor Setar, tiket dikatakan tidak mencukupi dan habis dijual hanya di dalam tempoh masa 45 minit selepas kaunter dibuka.

Persatuan Bola Sepak Kedah (Kedah FA) dikatakan telah mengagihkan tiket berkenaan di kalangan kelab penyokong, dan hanya sejumlah 8,000 tiket dijual secara fizikal di kaunter.

Ini jelas bertentangan dengan arahan FMLLP yang mengharapkan tiket fizikal dijual melalui kaunter stadium masing-masing.

Perkara ini memaksa FMLLP mengeluarkan 1000 lagi tiket sebelum diagihkan secara percuma kepada penyokong Kedah selepas campur tangan Presiden FAM, DYAM Tunku Mahkota Johor.

Mungkinkah FMLLP perlu mencari mekanisma lain dan mengambil tanggungjawab menjual tiket secara terus kepada penyokong di masa hadapan?

Di sebalik kemelut penjualan dan pengagihan tiket di kalangan penyokong Kedah, FMLLP sekali lagi wajar dipuji untuk penambahbaikan yang dilakukan.

Buat pertama kalinya, nombor tempat duduk diperkenalkan untuk tempat duduk VIP. Ini bermakna tidak ada isu tiada tempat duduk di kalangan penyokong tiket VIP.

Berdasarkan keberkesanan sistem ini di kalangan penonton VIP, pengenalan nombor tempat duduk wajar diperluaskan kepada pemilik tiket terbuka untuk jaminan keselamatan dan keselesaan kepada semua penyokong di masa hadapan.

Buat julung kalinya juga FMLLP turut memperkenalkan insuran keselamatan untuk setiap pemegang tiket perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017.

Pemegang tiket akan dilindungi oleh syarikat insuran yang dilantik oleh FMLLP sepanjang 12 jam sebelum dan selepas perlawanan; membabitkan tuntutan sebanyak RM5,000 untuk kematian akibat kemalangan dan kecacatan kekal, kos rawatan sehingga RM500, dan juga khairat kematian bernilai RM1,000.

Rumusan

Secara keseluruhan, perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2017 berjalan dengan lancar tanpa sebarang insiden. Ia juga boleh disifatkan antara perlawanan akhir terbaik yang pernah dianjurkan oleh FMLLP, walaupun harus kita akui ruang penambahbaikan sentiasa akan ada.

Bagi mereka yang hadir ke perlawanan akhir tempoh hari, kongsikan pengalaman anda. Nyatakan di ruangan komen secara berhemah agar sama-sama kita boleh perbaiki lagi penganjuran pertandingan sebegini di masa hadapan.

Semuanya BOLA turut mengucapkan tahniah kepada setiap penyokong yang hadir dan selamat kembali tanpa sebarang insiden.

Akhir kata, tahniah dan syabas buat seluruh warga kerja FMLLP dan setiap pihak yang turut memberi kerjasama dalam memastikan kelancaran pertandingan akhir TM Piala Malaysia 2017. Teruskan usaha anda untuk memartabatkan bola sepak negara.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN