Gomez Dan Marcote Berminat Nak Latih Pasukan Kedah

Bekas jurulatih pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Mario Gomez dan bekas pengendali Kedah, Ramon Marcote menyatakan minat mahu membimbing pasukan Helang Merah bagi menghadapi saingan Liga Super musim depan.

Menurut laporan akhbar tempatan, Kosmojurulatih Kedah ketika ini, Mohd Nidzam Adzha memberi bayangan akan melepaskan jawatanya selepas gagal membantu Kedah mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia di Stadium Shah Alam pada hari Sabtu lepas.

Mohd. Nidzam meminta pengurusan KFA segera mencari ketua jurulatih baharu supaya perancangan pasukan untuk mengharungi kempen Liga Malaysia musim depan dapat dilakukan dengan lebih tersusun.

Situasi itu telah menarik minat Gomez dan Marcote yang berhasrat dapat mengisi jawatan itu jika Mohd Nidzam benar-benar serius akan meninggalkan pasukan Kedah untuk memberi peluang kepada muka baharu.

Gomez yang pernah melatih pasukan JDT menjuarai Liga Super dan Piala AFC pada tahun 2015 sedang menanti tawaran daripada mana-mana pasukan Liga Super dan tidak menolak akan melatih Kedah andai diberikan peluang oleh Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA).

“Sudah pasti saya berminat. Saya pernah menyaksikan mereka bermain pada Januari lalu dan saya juga tahu JDT baru menang Piala Malaysia.

“Kedah merupakan pasukan yang kuat dan memiliki pemain-pemain yang bagus. Saya masih ingat pemain mereka yang bernombor 8 (Liridon Kasniqi) adalah seorang pemain yang cukup hebat,” katanya kepada kosmo.

Mario Gomez
Mario Gomez

Kosmo turut melaporkan bekas jurulatih Kedah kelahiran Sepanyol, Ramon Marcote turut menunjukkan minat untuk kembali membimbing pasukan Kedah musim depan. Beliau pernah membawa pasukan Kedah layak ke pentas final Piala Malaysia 2015, namun tewas kepada Selangor 0-2.

Ketika itu, Tan Cheng Hoe sedang mengikuti kursus kejurulatihan lanjutan Lesen A di China, sekali gus memberikan laluan buat Marcote untuk memikul tanggungjawab sebagai pengendali utama.

“Pengalaman di Kedah masih kuat di hati. Saya boleh mengingati setiap kenangan ketika bersama mereka dan pengalaman itu benar-benar berharga.

“Jika ada tawaran dari Malaysia, saya tidak teragak-agak untuk kembali ke sana kerana suasana bola sepak Malaysia amat mengagumkan.

“Saya mahu kembali ke sana jika ada peluang, apatah lagi tawaran itu datang dari Kedah,” ujarnya.

Ramon Marcote

Sementara itu, pengerusi Kelab Penyokong Bolasepak Kedah (KEPDA), Nor Asmadi Hamzah berkata KFA tidak perlu memandang jauh untuk mencari pengganti Nidzam dengan menamakan Azraai Khor Abdullah sebagai calon yang berkelayakan.

“Azraai pernah membawa Kedah melakukan ‘double treble’ pada 2007 dan 2008 serta membantu Negeri Sembilan menjuarai Piala Malaysia pada 2011.

“Kami yakin beliau masih mempunyai sentuhan untuk mengemudi Kedah kembali sebagai pencabar ketiga-tiga piala di samping menghadapi Piala AFC kelak. Nidzam pula boleh dikekalkan sebagai penolong jurulatih,” katanya kepada Berita Harian.

KEPDA juga berharap Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) tidak mengambil masa yang lama untuk melantik jurulatih baru sebagai persiapan awal menghadapi musim 2018.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN