Sudut pandangan atau ‘insights’ daripada pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon tentang seseorang pemain adalah salah satu perkara baharu yang menarik dalam pemilihan pemain untuk bersama skuad kebangsaan.
Dalam situasi yang sama sebelum ini, kita tidak akan dimaklumkan mengapa pemain tersebut dipanggil untuk bersama skuad kebangsaan menggantikan pemain yang tidak dapat menyertai kem latihan skuad negara.
Yang ada, hanya dimaklumkan ‘pemain ini’ cedera dan ‘pemain itu’ menggantikannya. Pengendali ataupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak memberikan sedikit maklumat mengapa pemain gantian itu yang jadi pilihan walaupun adakalanya dilihat pemain posisi lain yang cedera, posisi lain yang dibawa masuk.
Berbeza kali ini, Kim Pan-gon dilihat menjelaskan mengapa beliau memilih pemain tersebut. Ini menunjukkan beliau mahu para penyokong tahu serba sedikit mengenai pemilihan pemain walaupun ia tidak melibatkan keseluruhan pasukan. Ia sudah memadai untuk kita mengetahui apa yang berada di fikirannya saat ini.
Sebagaimana yang dijelaskan pemain sayap, Faisal Halim, skuad negara mungkin akan melalui perubahan taktikal dan corak permainan. Katanya kepada pihak media ketika sesi latihan pertama mereka, “Pada saya, perubahan taktikal dan corak permainan akan berlaku dan terpulang kepada pemain mampu ikut atau tidak.”
Sememangnya, setiap jurulatih ada pendekatan tersendiri dan pastinya mereka mahu terapkannya bersama pasukan. Cuma kita belum dapat gambaran bagaimana pendekatannya bersama skuad Harimau Malaya.
Setakat ini, belum ada latihan ‘berat’ dilakukan oleh Kim Pan-gon. Keutamaannya saat ini adalah membuat sesi pemulihan terlebih dahulu sebelum memulakan sesi yang sebenar pada Rabu (esok) disebabkan ramai pemain yang baru selesai melalui perlawanan pusingan pertama Piala FA yang berakhir pada Ahad, baru-baru ini.
Setakat ini, dua penggantian telah dibuat olehnya iaitu kemasukkan pertahanan Negeri Sembilan FC, Khuzaimi Piee dan penyerang Kuala Lumpur (KL) City FC, Zhafri Yahya. Apa ‘insights’ yang telah dikongsi Kim Pan-gon?
Untuk Khuzaimi Piee, beliau mahu pertaruhkannya di posisi bek tengah. Bersama Negeri Sembilan dalam aksi pertama Liga Super 2022 menentang Sabah FC, Khuzaimi Piee dipertaruhkan oleh pengendalinya, K. Devan sebagai bek tengah bertiga bersama Nasrullah Haniff dan Herold Goulon. Dan mereka mengatasi Sabah 1-0.
Posisi asal Khuzaimi Piee adalah bek kiri, selain mampu juga beraksi di posisi sayap kiri dan bek tengah.
“Perancangan asal kami ialah menggantikan Syahmi dengan seorang pemain pada posisi yang sama, iaitu bek kanan tetapi pemain Sabah FC, Rizal Ghazali, menolak pelawaan. Atas sebab taktikal, pengurusan pasukan kebangsaan memberi peluang kepada Ahmad Khuzaimi membuktikan kemampuan sebagai pemain bek tengah berkaki kiri.”
Kim Pan-gon
Jadi sekurang-kurangnya kita sudah tahu mengapa Khuzaimi Piee jadi pilihan. Pastinya ada lagi faktor teknikal lain. Jika tidak sudah tentu penyokong akan terus bertanya mengapa pemain seperti Rodney Calvin disisih.
Untuk Zhafri Yahya pula yang baru sahaja menerima panggilan skuad kebangsaan menggantikan Darren Lok, pengendali berasal dari Korea Selatan itu turut menyertakan faktor pemain tersebut jadi pilihannya ketika ini.
“Walaupun Darren [Lok] berposisi penyerang, Zhafri [Yahya] disenaraikan untuk membolehkan panel jurulatih meninjau kemampuannya menyusun gerak dari penjuru bahagian tengah.”
Kim Pan-gon
Ini memberi gambaran sama ada beliau mahu melihat Zhafri Yahya bermain sebagai penyerang di sebelah kanan seperti posisinya di KL City ataupun akan bermain di posisi sayap. Beliau adalah pemain tengah yang boleh bermain di sayap kanan dan kini turut dipertaruhkan dalam rangkaian tiga penyerang The City Boys.
Sedikit sebanyak kita mampu menafsir apa yang berada di fikiran Kim Pan-gon. Mungkinkah Malaysia akan taruhkan formasi taktikal bek bertiga? Khuzaimie Pie dibawa atas kekuatan tersebut dan beliau mahu lihatnya.
Dion Cools ketika bersama Malaysia sebelum ini bermain di posisi bek tengah walaupun posisi sebenarnya adalah bek kanan. Dan mungkin juga beliau boleh dipertaruhkan dalam formasi bek bertiga sebagai bek tengah? Segalanya boleh berlaku dengan faktor yang dijelaskan oleh Kim Pan-gon tentang kedua-dua pemain gantian.
Pastinya setiap pemain ada ‘insights’ masing-masing daripada barisan kejurulatihan Kim Pan-gon. Dan tentu, kita akan dapat mendengar lebih lagi sudut pandangannya tentang taktikal dan teknikal Harimau Malaya.