Perang poster JDT & Kedah semakin menjadi-jadi selepas kedua-dua media sosial mengeluarkan grafik memberikan ‘perang psikologi’ sebelum perlawanan berlangsung.
Perlawanan yang bakal berlangsung pada Jumaat, 20 Januari 2017 di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos di Larkin ini mendapat perhatiannya yang tersendiri menerusi perang poster ini.
“Jangan nakal-nakal”
Semuanya bermula apabila laman Facebook rasmi JDT iaitu JOHOR Southern Tigers (JST) mengeluarkan poster grafik menampilkan Azamuddin Akil sedang mengucup burung helang.
Ia kemudiannya ditambah dengan deskripsi di Facebook mengenai poster tersebut iaitu “Jangan nakal-nakal sayang. Baik-baik ya.”
Tidak lama selepas itu, laman Facebook rasmi Kedah pula membalas poster yang dikeluarkan oleh JST.
Dalam poster yang dikeluarkan pihak Kedah, terdapat seekor harimau sedang memeluk kaki pemain Kedah dalam keadaan ketakutan.
Kemudiannya di dalam poster itu terdapat tulisan ‘Fearless’ bermaksud tidak gentar merujuk kepada skuad Kedah yang tidak gentar untuk menentang JDT di Larkin.
Laman JST kemudiannya mengeluarkan satu lagi poster untuk membalas semula poster Kedah tersebut dan kali ini melibatkan penjaga gol – Izham Tarmizi.
Dalam poster itu, beliau dilihat sedang menangkap sesuatu. Jika lazimnya Izham menangkap bola, di dalam poster ini Izham menangkap helang.
Ia kemudiannya ditambah dengan deskripsi Facebook, “Eh! Hendak kemana sahabatku? Marilah sini.”
Namun begitu, poster tersebut belum lagi dibalas oleh pihak Kedah setakat artikel ini ditulis.
Penyokong turut serta
Perang poster JDT & Kedah ini turut menyaksikan kedua-dua penyokong turut serta di dalam perang poster ini.
Boys of Straits (BOS) misalnya, turut serta dalam perang poster antara kedua-dua pasukan.
BOS muncul dengan poster dengan tertera rangkap lirik lagu Ayam nyanyian Jalil Hamid satu masa dahulu.
Namun, penyokong Kedah kemudiannya membalas semual poster tersebut.
Satu poster telah dihasilkan oleh Budak Merbok menyaksikan pemain kesayangan Kedah, Liridon Krasniqi seperti sedang berjalan sambil membawa seekor harimau disebelahnya.
Bagi kami, kami mengalu-alukan perang poster sebegini. Hal ini kerana bukan kerana ia akan mendorong kepada pergaduhan di alam maya atau media sosial, tetapi ia menambahkan lagi bahang liga yang bakal bermula dengan Piala Sumbangsih esok.
Jika nak tunggu penganjur liga atau penyiar rasmi yang lakukan promosi, memang lewat. Lebih baik kita sendiri saja yang buat promosi tersebut.
Apa pun, semoga berjaya untuk kedua-dua pasukan!
Baca juga: FIFA Cadang Laksana Sepakan Penalti Ala Major League Soccer Era 1990-an