Perak gagal menggunakan peluang beraksi di tempat sendiri apabila sekadar seri tanpa jaringan dengan Felcra FC pada perlawanan pertama kumpulan A unifi Piala Malaysia 2018 sebentar tadi di Stadium Perak, Ipoh.
Tuan rumah terlebih dahulu mencemaskan pintu gol Felcra FC apabila hantaran lintang yang dilakukan Nazirul Naim Che Hashim tepat mencari Gilmar Jose Da Silva Filho seawal minit kedua.
Tandukan yang dilakukan penjaring terbanyak skuad Perak itu bagaimanapun berjaya ditangkap kemas Mohamad Fadzley Abdul Rahim.
Felcra FC yang dibimbing Tarcisio Pugliese Barbulio juga beberapa kali memberikan kesukaran buat jentera pertahanan Perak dengan gerakan menarik yang dicipta.
Penjaga gol kebangsaan, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy turut bertindak cemerlang dengan menafikan dua percubaan berbahaya yang dilancarkan pasukan pelawat menerusi Anselmo Arruda Da Silva.
Pemain pertahanan dari Lebanon, Jad Noureddine mensia-siakan peluang keemasan pada lewat aksi babak pertama setelah tandukan yang dilakukan ketika pintu gol Felcra sudah terbuka luas hanya tersasar.
Perlawanan bersambung dengan kedua-dua pasukan begitu rancak memburu jaringan pembukaan perlawanan.
Brendan Gan melepaskan rembatan cantik pada minit ke-58 tetapi gagal menemui sasaran apabila pertahanan Felcra FC berjaya menanduk keluar bola untuk menyelamatkan gawang mereka.
Kesilapan yang dilakukan Hafizul yang teragak-agak untuk keluar menyelamatkan keadaan hampir membawa padah.
Namun, percubaan Anselmo yang melakukan sepakan lambung sekadar melewati palang gol.
Perak yang kian bernafsu untuk mencari jaringan digagalkan dengan ketangkasan Fadzley dan disiplin yang baik ditampilkan pertahanan Felcra FC.
Fadzley cemerlang bagi menafikan ledakan rembatan yang dilepaskan Wander Luiz Bitencourt Junior pada minit ke-80.
Berselang dua minit kemudian, perlawanan dicemari dengan layangan kad merah apabila pertahanan kiri pelawat, Mohamad Fandi Othman diperintah keluar padang selepas menerima kad kuning kedua.
Namun, ia tidak memberikan sebarang kelebihan buat tuan rumah untuk keputusan kekal tanpa jaringan hingga wisel penamat ditiupkan.