Perak nampaknya bakal berdepan cabaran cukup getir hari ini dalam saingan Liga Super musim 2024/2025 dengan pertemuan seterusnya membabitkan pasukan itu menghadapi cabaran Selangor.
Walaupun berkelebihan beraksi di halaman sendiri iaitu Stadium Manjung, reputasi semasa jelas lebih banyak memihak kepada Selangor jika dibandingkan pasukan tuan rumah.
Jika diimbas pada rekod lima pertemuan kedua pasukan itu jelas semua kemenangan memihak kepada The Red Giants termasuk aksi Liga Super pusingan pertama pada musim ini.
Kali terakhir pertemuan mereka berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan Selangor meraih kemenangan tipis 2-1 hasil ledakan Ronnie Fernandez serta Alex Agyarkwa sebelum Azfar Fikri memperoleh satu jaringan tunggal pada babak separuh masa kedua.
Mengulas kembali pada pertemuan hari ini, Perak dilaporkan terpaksa melupakan khidmat dua pemain import mereka untuk melayan kunjungan skuad kendalian jurulatih dari Jepun, Katsuhito Kinoshi di Manjung.
Yusri Che Lah selaku jurulatih utama Perak juga mengakui tugas berat bakal dihadapi beliau bersama pasukan tersebut serta mahu para pemai tampil memberi fokus penuh pada aksi itu.
“Kami berdepan misi sukar dalam perlawanan esok. Selangor pasukan kedua terbaik liga setakat ini.
“Mereka miliki kelebihan, memang kami hadapi tugas berat. Walaupun sukar tetapi bukan mustahil untuk kami melakar kejutan.
““Apa yang saya harapkan pemain fokus dan berusaha keras untuk mengutip kemenangan pada aksi esok,” ujar Yusri menerusi perkongsian telah dibuat oleh Utusan Malaysia mengenai aksi tersebut.
Pada masa sama, Yusri juga mengakui tonggak utama mereka iaitu Luciano Guaycochea terus terlepas untuk mengharungi perlawanan tersebut kerana masih dihimpit isu kecederaan.
Manakala pemain tengah bertahan kental mereka Sunday Afolabi juga terpaksa disisihkan pasukan itu kerana menjalani hukuman penggantungan ditetapkan.
Saya berharap semangat pemain tidak terjejas dengan kekalahan itu. Mereka akan bangkit bagi mengusahakan kemenangan selepas mengharung lima perlawanan tanpa kemenangan,” kata beliau lagi.
Melihat kepada kekosongan ditinggalkan dua pemain import tersebut, sudah tentu Perak ingin tampil bersama sedikit rombakan dalam kalangan pemain untuk menghadapi cabaran The Red Giants.