Pengendali Perak, Mehmed Durakovic berpuas hati dengan persembahan pemainya, tetapi yakin sebenarnya mereka layak untuk tiga mata, sejurus menyaksikan Perak terikat 2-2 menentang Sabah dalam aksi minggu ke-4 CIMB Liga Super 2020.
Perak dipaksa bangkit dua kali menerusi dua jaringan penyerang, Shahrel Fikri untuk kembali mengikat skuad Tambadau seterusnya membawa pulang satu mata berharga dari Likas serta belum tewas dalam empat aksi liga setakat ini.
Mehmed Durakovic tampil dengan perubahan permainan di babak kedua dengan memberi lebih tekanan serta agresif terhadap lawan bagi membolehkan mereka kembali mengejar kedudukan Sabah yang mendahului perlawanan 2-1.
Jaringan sepakan percuma jarak jauh Azzizan Nordin di minit ke-5 dan ledakan Guy Gnabouyou di minit ke-27 telah membantu Sabah untuk selesa berada di depan dengan Shahrel Fikri sebelum itu meledak jaringan pertama Perak di minit ke-17.
Mujur buat Perak, hasil perubahan permainan di babak kedua membuahkan hasil apabila Shahrel Fikri memanfaatkan sepakan percuma Hafiz Ramdan untuk menjaringkan gol penyamaan bagi menamatkan perlawanan dengan keputusan seri.
“Ia bukanlah satu perlawanan yang mudah buat kami. Kita telah buat dua kesilapan yang menyebabkan lawan menjaringkan dua gol,” ujar Mehmed Durakovic.
“Babak kedua kami beraksi lebih baik, mungkin boleh mendapat satu atau dua penalti, jadi, satu mata tetap satu mata, ianya keputusan yang baik untuk kami.
“Tetapi, saya rasa kami sepatutnya mendapat tiga mata,” tegasnya yang menyatakan beliau telah mengarahkan para pemainnya untuk tampil lebih agresif di babak kedua.
“Pemain-pemain dalam keadaan terkejut kerana disebabkan kesilapan, kami bolos dua gol. Tetapi di babak kedua, kami berterusan menekan Sabah dan seperti yang saya katakan tadi, kami sepatutnya mendapat tiga mata,” ulasnya lagi.
Ketika ditanyakan pihak media mengenai kepenatan di kalangan para pemainnya yang menyumbang kepada keputusan ini, Mehmed Durakovic menekankan sebagai seorang profesional, penat bukanlah isu dan alasan yang sesuai buat mereka.
“Kami melalui tiga aksi di tempat lawan, anda dapat lihat kepenatan mereka. Tetapi inilah bola sepak, begini jadualnya, jadi kita tidak boleh menjadikannya alasan. Kita perlu profesional,” jelasnya sambil berpuas hati dengan prestasi pemainnya.
KREDIT FEATURED IMAGE: MFL