Pasukan Liga Super, Perak kini telah melepaskan Datuk Lim Teong Kim daripada kelab itu dan bekas pemain kebangsaan tersebut tidak lagi mengemudi The Bos Gaurus.
Keputusan ini diambil oleh Perak rentetan kekalahan memalukan kepada pencabar liga iaitu Sabah dalam aksi Liga Super baru-baru ini.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan sendiri oleh Perak, mereka telah melepaskan Teong Kim secara serta-merta dengan pengganti sementara sudah pun diumumkan.
Seorang lagi bekas pemain kebangsaan, Yusri Che Lah telah dinamakan oleh Perak sebagai pengganti mereka berkuatkuasa segera.
“Perak FC mengumumkan Datuk Lim Teong Kim tidak lagi bersama pasukan Liga Super berkuatkuasa serta-merta.
“Yusri Che Lah akan mengambil alih tugas sebagai ketua jurulatih sementara untuk masa terdekat.
”Kami mengucapkan terima kasih kepada Datuk Lim di atas sumbangannya dan mendoakan yang terbaik untuk karier beliau di masa hadapan,” kata Perak di Facebook mereka.
Teong Kim menjadi mangsa kedua sesi pemecatan jurulatih Liga Malaysia selepas sebelum ini Choi Moon-sik dilepaskan oleh Kelantan.