Perak boleh dianggap ketika ini berada dalam momentum terbaik untuk mencipta kemenangan seterusnya dalam saingan Liga Super 2023, dengan aksi seterusnya mereka bakal membuat perhitungan menentang Kuala Lumpur City (KL City).
Skuad kendalian Yusri Che Lah sebelum itu tampil mengejutkan ramai pemerhati bola sepak tempatan, selepas mereka tampil dengan lebih baik pada pertengahan musim Liga Super serta untuk aksi Piala Malaysia 2023.
Kejayaan mereka untuk menyingkirkan Kedah Darul Aman (Kedah) dalam pusingan 16 terbaik Piala Malaysia menjadi sebab kenapa Perak kini tidak sama prestasi mereka seperti awal musim yang dianggap sangat lesu.
Hadir dengan beberapa rombakan pemain pada jendela perpindahan kedua lalu, Perak kini tampil lebih menyakinkan di segenap posisi selain corak permainan juga kian menyerlah bawah kendalian Yusri.
Keputusan lima perlawanan terakhir pasukan itu sebelum ini dianggap sedikit menyakinkan selepas mencatat dua kemenangan dan tiga kekalahan dengan Penang serta Kedah menjadi mangsa kelab tersebut.
Untuk aksi seterusnya bertemu KL City, Perak dijangka bakal mendapat sorakan padu daripada para penyokong mereka sendiri selepas berkelebihan bermain di halaman sendiri.
Malah, dilaporkan pasukan pelawat juga bakal tampil dengan sedikit perubahan untuk aksi malam ini selepas beberapa pemain utama mereka mengalami kecederaan.
Pengendali KL City iaitu Nenad Bacina juga sudah mengesahkan perkara tersebut dengan beberapa pemain muda bakal mengisi kekosongan itu untuk menghadapi cabaran Perak.
“Ada beberapa pemain tonggak dilihat masih lagi belum pulih sepenuhnya sekali gus mungkin terlepas peluang menentang Perak di Stadium Perak.
“Jika situasi berkenaan berlaku, saya mempunyai barisan pemain muda yang bagus. Mereka sudah buktikan keupayaan pada perlawanan kedua Piala Malaysia ketika menentang Penang baru-baru ini.
“Kami hadir dengan misi mahu mengutip tiga mata penting untuk KL City bagi mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super,” katanya menerusi petikan daripada Harian Metro.
Pastinya ia menjadi suatu kelebihan terbaik buat Perak untuk cuba menjadikan KL City pula sebagai mangsa mereka bagi terus memperbaiki kedudukan semasa dalam carta Liga Super.
Selain itu, para pemain utama Perak juga berada dalam keadaan menyakinkan ketika ini untuk dibawa turun beraksi seperti Seo Seonung, Jesper Nylholm, Wan Zack Haikal, Firdaus Saiyadi, serta beberapa tonggak lagi untuk menggempur padukan pelawat.