Nafuzi Zain: “Inilah Cara Sebenar Kita Patut Bermain”

Ketua Jurulatih Kedah Darul Aman (Kedah), Nafuzi Zain jelas sangat berpuas hati selepas skuad kendaliannya berjaya mengikat keputusan seri ketika bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam di Stadium Darul Aman (SDA).

Beraksi di halaman sendiri, jelas Kedah mendapat suntikan motivasi sangat tinggi daripada lebih 11,000 penyokong fanatik mereka sepanjang tempoh 90 minit aksi berlangsung.

Kejutan pada perlawanan tersebut mula berlaku selepas Sang Kenari terlebih dahulu menjaringkan gol pertama permainan menerusi penyerang sensasi mereka iaitu Ifedayo Olusegun untuk menamatkan aksi di separuh masa pertama.

Keseluruhan stadium terus bergema dengan sorakan penyokong Hijau Kuning, setelah Kedah terus selesa menjaringkan gol kedua mereka pula dengan giliran Manuel Ott menewaskan Ahmad Syihan Hazmi.

Namun kegembiraan tersebut tidak bertahan lama selepas JDT mencipta kebangkitan pantas untuk meledak tiga gol bagi memimpin kembali perlawanan menerusi Corbin Ong, Heberty Fernandes, serta Arif Aiman Hanapi.

Saat JDT hampir pasti berpesta dengan kejuaraan Liga Super kali ke-10, hadir Amirbek Juraboev untuk merosakkan suasana menerusi gol penyamaan buat Kedah dan kekal sehingga ke wisel penamat.

Jelas Nafuzi, tiada sebarang perubahan dibuat beliau mengenai persiapan pasukan sebelum itu melainkan para pemain sendiri menampilkan kualiti tersendiri untuk menghadapi kelab sekuat JDT.

“Apapun terima kasih terlebih dahulu diucapkan untuk para pemain saya, ianya merupakan satu mata yang sangat berharga daripada kosong mata, tetapi kalau raih tiga mata itu bonus untuk kita.

“Daripada persiapan itu sebenarnya sama seperti kita menghadapi perlawanan-perlawanan lain. Ianya normal bila kita berdepan dengan pasukan besar seperti fokus dan motivasi para pemain itu akan sentiasa bersedia,” ujar Nafuzi.

Pengendali muda berbakat besar itu juga menyatakan satu mata berharga ini tidak akan bermakna sekiranya Kedah gagal untuk konsisten bagi aksi seterusnya yang bakal dihadapi mereka.

“Bagi saya satu mata ini berharga, tetapi ianya tidak bermakna jika kita kehilangannya kembali dan saya lagi rela kita tewas aksi ini dan menang semua baki perlawanan akan datang.

“Apapun untuk situasi sekarang ini, untuk berada di atas kita sangat perlukan mata dan apa dipamerkan pemain malam ini telah menunjukkan suatu gambaran sebenar dengan inilah cara sebenar kita patut bermain serta percaya dengan segala taktikal telah diterapkan walau bertemu mana-mana kelab.

“Saya juga rasa keyakinan secara keseluruhan semua pemain malam ini (semalam) dipamerkan dengan begitu tinggi. Dalam tempoh 90 minit intensiti dipamerkan sangat tinggi dan saya anggap ini aksi yang sangat menarik untuk dilihat,” kata beliau lagi.

Pada masa sama, Nafuzi juga mengakui ada beberapa situasi para pemainnya berada dalM tekanan selepas berhadapan dengan pasukan yang mempunyai kualiti sangat tinggi seperti JDT.

Malah pengendali itu juga yakin selepas ini para pemainnya mampu mengekalkan momentum mereka untuk berpeluang memperbaiki kedudukan liga di posisi lebih atas.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN