Kejayaan mengatasi kelab Hong Kong, Kitchee SC, melalui penentuan sepakan penalti, 6-5 semalam mengesahkan skuad The Bos Gaurus kini selangkah lagi untuk beraksi di pusingan akhir AFC Champions League 2019.
Pengendali skuad itu, Mehmed Durakovic memuji semangat anak buahnya dan menyifatkan pemainnya berhak meraikannya setelah berusaha dengan gigih untuk mencipta sejarah baharu.
Malah, beliau turut yakin Perak mampu melakar satu lagi kejutan dengan mara dengan lebih jauh dalam saingan kelab kelas tertinggi Asia.
“Mereka pemain istimewa kerana memiliki ciri-ciri dan perwatakan mantap semasa dalam padang.
“Saya gembira dengan kejayaan ini kerana satu lagi sejarah dilakar pemain Perak selepas memenangi Piala Malaysia 2018.
“Kami mencatat satu lagi sejarah dalam bola sepak negeri Perak dengan melepasi pusingan awal ACL dan akan bertemu wakil Korea Selatan selepas ini, ” katanya dalam stadium astro
Pada hari selasa minggu depan, Perak dijadualkan bertemu Ulsan Hyundai yang menduduki tempat ketiga liga divisyen 1 Korea Selatan dan juga merupakan finalist Piala FA musim lepas.
Mengulas mengenai perlawanan semalam, jurulatih dari Australia itu mengakui anak buahnya gagal memanfaatkan beberapa peluang menjaringkan gol sehingga membolehkan Kitchee menyamakan kedudukan dan memaksa perlawanan berlanjutan ke masa tambahan lalu diheret ke penentuan penalti.
“Kami patut boleh menang dengan jurang tiga gol tetapi apakan daya pemain gagal menyudahkan peluang diperoleh.
“Saya berharap pemain jadikan ini sebagai satu pengajaran dan tidak mengulanginya,” katanya.
Apapun, Durakovic sedar tugas berat yang menanti mereka kerana mempunyai jadual padat, termasuk dalam Liga Super.
“Jumaat ini, kami akan turun lagi bertemu Kuala Lumpur dalam saingan Liga Super, kemudian ke Korea Selatan untuk perlawanan ACL Selasa depan.
“Jadual kami memang padat dan pemain saya bukan robot.
“Cuma saya berharap mereka akan pulih selepas kami lakukan sesi pemulihan esok,” ujarnya.