Ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic mengesahkan pasukannya akan mengadakan perlawanan pra-musim dalam masa terdekat selepas cuti tahun baru sebagai persiapan menghadapi saingan Liga Malaysia 2019.
Bagaimanapun, Mehmet berkata beliau perlu memastikan pasukannya lengkap sepenuhnya dengan kembalinya beberapa pemain skuad kebangsaan yang beraksi di Piala AFF bulan lepas.
“Pasukan kini kembali lengkap dan kami merancang mengadakan perlawanan persahabatan selepas cuti tahun baru ini sebagai persediaan pra-musim apabila semua pemain pulang daripada bercuti,” katanya dalam Stadium Astro
Perlawanan persahabatan yang dirancang nanti adalah untuk menguji kemampuan dan tahap kecergasan pemain itu selepas cuti panjang.
Malah, mereka juga perlu membentuk keserasian dengan pemain import baharu, Zac Anderson yang mempunyai pengalaman beraksi dengan Kedah dan PKNS FC pada musim lalu.
“Pemain yang baru selesai bermain untuk skuad kebangsaan perlukan cuti seminggu atau dua dan kami juga baru dapat pemain kelahiran Australia, Zac Anderson.
“Anderson akan mengambil masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan tetapi sebagai seorang profesional, ia sepatutnya bukan masalah,” katanya.
Jurulatih itu bagaimanapun gembira dengan perkembangan terkini dalam pasukannya kerana hubungan baik di kalangan pemain dan pegawai.
“Saya berharap suasana ini mampu dikekalkan sepanjang musim kerana ia faktor membantu kejayaan Perak setakat ini,” katanya.
Sebagai juara Piala Malaysia 2018, Perak dijadual bertanding dalam Piala Sumbangsih apabila bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Larkin pada 2 Februari nanti.
Mengulas mengenai perlawanan itu, Mehmet optimis pasukannya mampu melakukan kejutan dan akan memberikan yang terbaik.
“Johor pasukan hebat dan kuat serta berada dalam kelas tersendiri. Namun, kami akan berusaha sedaya-upaya untuk memberi saingan,” katanya.