Perak kini boleh dikatakan terus bergerak pantas dalam membuat persiapan membabitkan para pemain baharu sebelum mereka mula mengharungi aksi pramusim tidak lama lagi.
Terdahulu, The Bos Gaurus tampil dengan persiapan awal apabila mereka sudah pun mengumumkan beberapa pemain tempatan baharu untuk memperkukuhkan pasukan di segenap posisi.
Antara pemain tempatan paling mencuri tumpuan sudah ditandatangani sudah tentu terarah kepada Ramadhan Hamid yang beraksi cemerlang musim lalu bersama PDRM selaku penjaga gol utama.
Kelemahan posisi penjaga gol Perak pada musim lalu jelas ingin diperbaiki pengendali pasukan, Yusri Che Lah menerusi kemasukan Ramadhan bersama mereka untuk saingan hadapan.
Malah, pasukan tersebut juga jelas ingin memperkukuhkan posisi tengah mereka dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), selepas Perak mengumumkan bintang muda import dari Kyrgyzstan iaitu Adilet Kanybekov untuk membentuk gandingan bersama Luciano Guaycochea.
Ianya tidak terhenti setakat itu, apabila Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak iaitu Bobie Farid Shamsudin mengakui 10 lagi pemain termasuk tiga tonggak import baharu bakal diperkenalkan mereka tidak lama lagi.
Kemasukan tiga pemain import baharu itu sudah tentu untuk memperkukuhkan aspek serangan serta pertahanan mereka yang sedikit tidak konsisten pada persaingan musim lalu.
“Kita dah lengkapkan (senarai 10 pemain). Yang lain akan kita umum selepas mereka lepas ujian perubatan. Ia termasuklah lagi tiga pemain import,” katanya menerusi laporan Harian Metro.
Menerusi komen-komen di media sosial, berkemungkinan Perak juga bakal mendapatkan beberapa pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan status pinjaman yang mungkin akan turut diperkenalkan nanti.
Daripada segi persiapan lain, Bobie juga menyatakan pasukan tersebut mungkin akan mengharungi aksi pramusim di sebuah negara Asia yang masih lagi belum didedahkan secara rasmi.
Jelas beliau, isu pramusim di luar negara ketika ini masih lagi sedang diperhalusi dan ianya tidak mustahil dilakukan jika mereka mendapat sokongan padu daripada rakan penaja.
“Perancangan untuk perlawanan persahabatan dan sebagainya masih lagi dalam rancangan. Kalau ada rezeki, mungkin kita akan ke sebuah negara Asia.
“Kalau dapat ‘support’ daripada penaja dan sebagainya, InsyaAllah kita akan buatlah,” kata Bobie yang turut mengakui aksi pramusim bakal dilakukan pada 1 Mac ini dengan membabitkan semua pemain.