Manchester City tiada pilihan lain kecuali menang pada perlawanan seterusnya jika mahu terus bersaing dengan Liverpool dalam perebutan gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
The Cityzens yang kini berada di kedudukan kedua, 4 mata dibelakang Liverpool akan bertandang ke Stadium King Power untuk berdepan Leicester City pada aksi ke-19 saingan liga hari ini, meletakkan sasaran wajib menang dan tidak boleh tewas dan senario itu bagaikan aksi `penting’ buat skuad bimbingan Pep Guardiola untuk menentukan perjalanan pasukannya musim ini.
Selaku pengurus pasukan, Pep sedar ia tugas rumit untuk barisan pemainnya kerana bakal berdepan tentangan sengit dari Leicester City yang baru sahaja mengejutkan Chelsea pada perlawanan sebelum ini.
Dipetik kenyataan dari ESPN, Pep menegaskan agar semua pemainnya memberikan fokus sepenuhnya kerana pasukan perlu menghadapi dua perlawanan terakhir untuk tahun 2018 dan berharap prestasi musim lalu akan berjaya diulangi sekali lagi.
“Kami akan ke Leicester dengan memerlukan kemenangan. Musim lalu kami kehilangan mata dan kemudian kembali meneruskan kemenangan. Itu yang perlu kami lakukan.”
“Kami mempunyai dua lagi perlawanan sebelum masuk tahun baru dan kami perlu melakukannya.”
“Apabila kita menang, saya menegaskan mereka (pemain) supaya tenang dan sekarang ia adalah sama. Kami kalah perlawanan, ia berlaku, dan perlu kembali memberikan tumpuan untuk seterusnya.”
Tunjukkan karakter sebenar
Guardiola turut menambah bahawa pasukannya akan cuba memperbaiki keputusan negatif dengan cara yang sama seperti mana pasukan itu pernah lakukan selepas mengalami gagal mengutip tiga mata penuh (0-0) di Liverpool pada Oktober lalu.
Selepas perlawanan tersebut, Man. City kembali bangkit dengan mencatat tujuh kemenangan berturut dalam liga sebelum pasukan itu tewas ditangan Chelsea 0-2, pada 9 Disember lalu.
“Saya melihat mereka (pemain) kecewa dan sedih selepas permainan [Crystal Palace] dan Itu adalah normal,” katanya.
“Tidak banyak pasukan di dunia yang gembira apabila mereka tidak memenangi perlawanan. Tetapi, kami perlu menunjukkan karakter sebenar kami.”
“Kami telah menunjukkan banyak kali bahawa kami mampu kembali bertindak balas (bangkit) dengan baik dan kami akan cuba lagi. Ia agar sukar untuk menang di Leicester, kemudian di Southampton. Kita akan lihat apa yang berlaku,” jelas Pep.