Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengatakan pasukannya perlu kekal fokus dalam baki saingan Premier League musim ini.
Dalam sidang media pasca perlawanan menentang Fulham semalam, beliau mengatakan sudah tiba masanya untuk para pemainnya memenangi semua baki aksi liga musim ini.
Hal ini kerana, pencabar terdekat iaitu Liverpool sudah pasti akan menanti sahaja peluang untuk mengambil kesempatan diatas kesilapan mereka.
“Sekarang ini kami berada di fasa terakhir liga dengan 7 perlawanan sahaja tinggal. Sifirnya mudah, kami kena menang semua perlawanan untuk bergelar juara.”
“Kami mempunyai lawan yang cukup-cukup sukar kerana mereka mengekori rapat kedudukan kami ketika ini.”
Dalam masa yang sama, Guardiola turut mengatakan yang beliau berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya musim ini walaupun terdapat beberapa kepincangan.
“Saya tidak ada banyak perkara yang hendak dikatakan. Walaupun kadang kala pasukan berada dalam keadaan yang tidak terbaik namun semuanya baik-baik saja.”
Manchester City mencatatkan kemenangan selesa di Craven Cottage apabila menewaskan Fulham dengan jaringan 0-2.
Hasil kemenangan itu menaikkan kembali kelab tersebut ke kedudukan teratas liga dengan mempunyai kelebihan 1 perlawanan.
Sementara bagi Fulham, skuad kendalian Scott Parker itu terus diancam dengan potensi untuk jatuh ke EFL Championship selepas gagal memberikan tanda-tanda untuk bertahan dalam Premier League.
Mereka dianggap sebagai calon berpotensi untuk jatuh dan menyertai Huddersfield Town ke liga bawahan.