Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui hanya menurunkan pemain kurang cergas ketika menewaskan Arsenal 2-0 dalam aksi pertama musim baharu Liga Perdana Inggeris di tempat lawan kelmarin.
Ia merupakan pertemuan ke-11 Pep Guardiola dengan pengurus baru Gunners, Unai Emery dan pertama kali dalam Liga Perdana Inggeris dengan kesemua pertemuan sebelum ini di La Liga dimenangi oleh mantan bos Barcelona.
Malah pengendali dari Sepanyol itu memuji sumbangan pemain bintangnya yang beraksi pada Piala Dunia lalu walaupun masih keletihan dan terpaksa memendekkan cuti rehat mereka demi City.
Pada aksi di Stadium Emirates itu, gol-gol City dijaringkan Raheem Sterling di awal babak pertama dan Bernardo Silva di awal babak kedua.
“Kami bermain di tahap tinggi biar pun kekurangan dari segi kecergasan dalam kalangan beberapa pemain yang lewat tiba selepas Piala Dunia. Kebanyakan mereka melakukan pengorbanan seperti Sterling, (John) Stones dan (Kyle) Walker.
“Kami sempat bersama selama seminggu tetapi semangat itu sentiasa ada,” katanya yang hanya membawa masuk Kevin de Bryune dan Leroy Sane yang juga kurang cergas sebagai pemain gantian sahaja
Malah, Benjamin Mendy diturunkan dalam kesebelasan utama selepas mengalami kecederaan lutut hampir sepanjang musim lalu.
Pep percaya juara Piala Dunia 2018 bersama pasukan Perancis tersebut watak utama yang telah membantu kedua-dua jaringan gol oleh Raheem Sterling dan Bernardo Silva sehingga memberi kesan kepada pasukan musim ini.
REAKSI BOS 🗣: "@benmendy23 adalah Mendy. Dia berikan tenaga dan saya percaya dia akan beri impak kepada pasukan musim ini. Saya berpuas hati menang ke atas dua pasukan kuat @ChelseaFC dan @Arsenal minggu ini." – Pep Guardiola.
Lengkap: https://t.co/lhUits2oRk #mancity #PL pic.twitter.com/sdDgCSnQIk
— Manchester City (@ManCityMAS) August 12, 2018
“Saya telah katakan banyak kali tahap permainan kami tinggi, anda tidak boleh nafikannya. Saya rasa kami boleh perbaiki lagi seperti memasukkan Mendy dalam pasukan,” jelas Guardiola seusai perlawanan.
“Hari ini kami memberi tekanan berbeza dari perlawanan menentang Chelsea minggu lalu. Untuk memahaminya kami perlukan masa. Tapi secara keseluruhan, saya lebih berpuas hati dengan apa yang telah saya saksikan ketika melawan Chelsea dan Arsenal.
“Mendy adalah Mendy, kadang kala kami mahu ‘membunuhnya’ dan kadang-kadang kami rasa bertuah dan anda memikirkan, wau, betapa hebat seorang pemain kami ada.
Ia masih awal untuk memperkatakan tentang peluang City kali ini, namun fokus seterusnya perlawanan pertama di tempat sendiri Ahad depan 19 Ogos di Stadium Etihad dengan menghadapi Huddersfield Town.