Manchester City membelasah Shakhtar Donetsk 6-0 dalam saingan Liga Juara-Juara, awal pagi tadi.
Bagaimanapun, perlawanan yang berlangsung di Stadium Etihad itu sedikit terpalit dengan kontroversi.
Ini susulan dari keputusan pengadil perlawanan, Viktor Kassai yang menghadiahkan sepakan penalti buat tuan rumah selepas mendapati Raheem Steling dijatuhkan didalam kotak penalti.
Para pemain dan pengurus Shakhtar Donetsk menafikan situasi tersebut dengan membuat bantahan keatas keputusan yang dibuat oleh pengadil dari Hungary itu.
Menurut mereka, Sterling terjatuh dengan sendirinya tanpa ada pemain yang mengasarinya.
Pengurus Manchester City, Pep Guardiola juga tampil membicarakan mengenai keputusan pengadil itu.
Menurut Pep, beliau hairan mengapa pengadil memberikan sepakan penalti sedangkan pemainya dilihat terjatuh dengan sendiri.
Pep mempersoalkan keputusan pengadil dan menyifatkan pengadil tersebut telah melakukan satu kesilapan besar.
“Kami sedar ia sepatutnya bukan penalti.”
“Kami tidak suka menjaringkan gol dalam situasi seperti itu,” kata Guardiola kepada FourFourTwo .
Pep berpendapat sistem pengadil bantuan video (VAR) perlu diperkenalkan di saingan Liga Juara-Juara Eropah.
“Pengadil perlu dibantu dan mereka juga pasti tidak mahu melakukan kesilapan. VAR adalah jalan penyelesaiannya.”
“Perlawanan berlangsung semakin pantas sekarang. Ia hanya memerlukan 10 saat untuk seseorang bercakap kepada pengadil.”
Sterling Mohon Maaf
Bagi Raheem Sterling, beliau tampil mempertahankan dirinya selepas menerima kritikan.
Ketika pengadil memberikan penalti, Sterling dilihat tidak mengakui dirinya terjatuh dengan sendiri.
Sebaliknya, beliau berjaya meraih penalti biarpun jelas tiada kekasaran yang berlaku keatas dirinya.
Menurut pemain berusia 23 tahun itu, beliau tidak mengetahui apa yang berlaku ketika terjatuh didalam kotak penalti.
“Saya mahu melambungkan bola dan tidak tahu apa yang berlaku.”
“Saya tidak rasa dikasari, saya memohon maaf kepada pengadil,” kata Sterling selepas tamat perlawanan.