Pertembungan “Manchester Derby” di antara Manchester United dan Manchester City untuk aksi Liga Perdana Inggeris esok pasti menjadi tumpuan peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Pendahulu liga, Manchester City sedang memburu kemenangan ke-14 berturut-turut yang bakal menyamai rekod sepanjang zaman dalam liga utama Inggeris.
Kemenangan ke atas Manchester United esok menjadikan jurang di antara penghuni tangga kedua, menjadi kepada 11 mata sekiranya mampu mencatat kemenangan di Old Trafford.
Manchester United kini berada dalam landasan mencipta rekod tersendiri untuk mencatat perlawanan ke-41 tanpa kalah .
Namun begitu, pengendali City, Pep Guardiola berwaspada terhadap kemampuan seteru lamanya, Mourinho.
“Sehingga sekarang, kami tidak boleh merungut mengenai keputusan, terutamanya corak permainan kami,” kata Guardiola.
“Apabila kamu melihat statistik dalam setiap perlawanan bukan hanya di laman lawan kami lebih baik daripada sudut potensi jaringan, kedudukan dan peluang.
“Namun, saya fikir United juga amat hebat daripada sudut itu. Apabila statistik bagus, mereka meraih kemenangan dan apabila sebaliknya, mereka juga mampu meraih kemenangan 3-1 (menentang Arsenal) di Emirates, salah sebuah stadium yang sukar.
“Mereka (Arsenal) melakukan 33 rembatan dan United menang 3-1. Tidak banyak pasukan di dunia ini yang mampu melakukannya.
“Kami perlu kaji penjaga gol mereka dan saya rasa kami ada rahsia untuk menewaskan mereka,” jelas Pep Guardiola.
Biarpun mempamerkan aksi cemerlang sejak awal musim lalu, City bagaimanapun dilihat perlu berusaha gigih dalam usaha mencari kemenangan sejak kebelakangan ini.
Dalam tiga kemenangan liga baru-baru ini bermula dengan kemenangan 2-1 di laman Hundersfield Town dan di laman sendiri menentang Southampton dan West Ham United – mereka dilihat harus menunggu sehingga minit ke-83 untuk meledak gol kemenangan.
Mereka kemudiannya tewas di tangan Shakhtar Donetsk dalam aksi Liga Juara-Juara baru-baru ini seterusnya memusnahkan rekod tanpa kalah ke-20 berturut-turut kelab berkenaan.
United pula melakukan sebaliknya, apabila mereka meraih kemenangan dalam empat perlawanan dengan momentum ketika menewaskan Arsenal 3-1 minggu lalu berlanjutan apabila meraih kemenangan ke atas CSKA Moscow 2-1 untuk mengikut jejak City melangkah ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara. – AFP