Pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui memenangi 3 piala semusim masih belum cukup bagi dirinya.
Hal ini kerana, beliau mengatakan ramai pihak masih akan mempersoal kredibiliti pasukannya kerana tidak menyapu bersih semua piala yang dicabar oleh mereka.
Menurut laman BBC Sport, Guardiola mengatakan kejayaan beliau bersama Barcelona satu ketika dahulu telah menjadi punca mengapa semua pihak mengharapkan perkara sama akan berulang lagi.
“Semasa saya di Barcelona, kami cukup beruntung dapat menang UEFA Champions League sebanyak 2 kali dalam masa 4 tahun.”
“Oleh kerana itu, ramai pihak anggap saya dapat lakukan perkara yang sama dan ianya memang betul.”
Bagi Guardiola, memenangi kejuaraan Eropah pastinya dapat menutup mulut pengkritik walaupun pasukannya telah memecahkan pelbagai rekod dalam bola sepak Inggeris.
“Saya pernah katakan yang kami akan dinilai dengan pencapaian dalam saingan Eropah.”
“Dalam saingan Eropah, persaingan cukup sengit dan banyak pasukan berkualiti di dalamnya dan kami memang mahu memenanginya.”
Musim ini, Manchester City disingkirkan Tottenham Hotspur dalam saingan suku akhir saingan Eropah dengan begitu kejam selepas gol minit akhir Raheem Sterling dinafikan oleh Video Assistant Referee (VAR).
Namun begitu, ianya tidak menghalang Manchester City untuk menyapu 3 lagi piala iaitu Premier League, Carabao Cup dan juga FA Cup.
Mereka juga menjadi pasukan pertama yang menjuarai 3 piala domestik dalam satu musim atau domestic treble dalam bola sepak Inggeris.