“Kita perlu sudahkan segala peluang yang kita ada. Agenda utama kita (selepas ini) adalah jaringan gol.”
Itu adalah ungkapan ketua jurulatih skuad B-23 kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee kepada pihak media sejurus tamat perlawanan pertama Kumpulan A, Sukan SEA 2017 menentang Brunei yang berkesudahan Malaysia menang tipis 2-1 di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Menurut Kim Swee, para pemainnya telah mencipta banyak peluang walaupun Brunei meletakkan ramai pemain di benteng dan telah bertahan dengan baik. Walaubagaimanapun, Kim Swee tetap mampu menarik nafas lega apabila skuadnya berjaya meraih tiga mata berharga.
Brunei pastinya sedikit sebanyak telah mengejutkan ramai pihak terutamanya para pemain Malaysia apabila berjaya mempamerkan aksi kental dan agresif. Dengan penyudah yang agak ‘tumpul’, aksi anak-anak buah Kim Swee kian goyah sehingga gagal memberikan fokus untuk memburu lebih banyak gol.
“Mendapatkan tiga mata adalah penting dan kita berjaya lakukannya.
“Kita terperangkap dengan gol pihak lawan dan ianya menjadikan perlawanan agak sukar. Saya tidak terlalu khuatir akan aksi goyah Adam dan Irfan. Mereka akan memberikan yang lebih baik untuk perlawanan seterusnya,” tambah Kim Swee lagi kepada media.
Selain itu, Kim Swee turut yakin yang skuadnya akan beraksi lebih baik selepas ini. Akui Kim Swee, kemasukkan S. Kumaahran dan Syamer Kutty Abba berjaya merubah rentak skuadnya. Syamer tenang mengemudi jentera tengah selepas masuk menggantikan Danial Amier, sementara Kumaahran menambah kerancakan di bahagian sayap.
Dalam aksi malam tadi, Syafiq Ahmad dan Jafri Firdaus Chew mempamerkan aksi di bawah tahap sebenar dan ini telah merencatkan beberapa serangan yang telah dicipta oleh rakan sepasukan. Kombinasi tiga serangkai Syafiq-Jafri-Safawi tampak kurang keserasian dan longgar.
Beberapa pemain beraksi dengan baik antaranya pertahanan kanan, Matthew Davies yang diletakkan di posisi sayap kanan dan menjadi penjana serangan buat skuad negara. Beberapa hantaran lintangnya cukup untuk mengancam kubu lawan dan gol pertama adalah hasil hantaran beliau.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, yang turut hadir menyaksikan perlawanan malam tadi dipetik berkata kepada media, skuad Malaysia memiliki banyak peluang namun telah disia-siakan.
“Patutnya kita boleh menang dengan jaringan lebih besar tapi banyak peluang dilepaskan.
“Bagaimanapun, ia tetap tiga mata berharga dan saya percaya masih banyak ruang boleh dipertingkatkan dalam aksi berikutnya,” ujarnya lagi kepada pihak media.