Vichai Srivaddhanaprabha telah meninggal dunia pada Oktober yang lalu bersama 5 yang lain – terkorban di dalam nahas helikopter. Tragedi itu berlaku di perkarangan luar stadium King Power
Namun begitu penyokong Watford mengambil kesempatan untuk meluahkan rasa simpati dan penghargaan mereka kepada pemilik legenda itu walaupun tragedi itu sudah lebih sebulan yang lalu.
Sebelum ini mereka tidak ada kesempatan untuk berbuat demikian. Oleh itu mereka mengambil kesempatan yang ada dalam kunjungan pasukan mereka ke Leicester untuk menzahirkan penghormatan mereka.
Satu kain rentang besar dikibarkan oleh penyokong pasukan pelawat di Stadium King Power. Kain rentang itu tertulis: “Terima kasih Vichai kerana membolehkan kami semua bermimpi. Bersemadi dengan aman.”
Penyokong kedua-dua pasukan memberikan tepukan penghargaan di atas semangat fairplay ditunjukkan oleh penyokong Watford.
Mereka megagumi Vichai kerana kisah inspirasi Leicester daripada pasukan yang dipromosi ke liga utama, bertarung dengan zon penyingkiran kepada pasukan juara EPL pada 2015/16. Ianya dianggap pencapaian luar biasa dalam sejarah bola sepak.
Apa yang dilakukan Vichai dan Leicester telah memberikan keyakinan kepada banyak kelab kecil lain untuk cuba melakukan perkara yang sama. Mesej jelas daripada kejayaan itu adalah, tiada apa yang mustahil di dunia ini.
Penyokong Watford berkata: “Orang bertanya kenapa kami membawa 2 kain rentang besar ke Leciester sedangkan mereka [keluarga Vichai] tidak pernah ada kaitan dengan Watford.”
“Jawapan kami mudah. Walaupun kita berbeza, namun apabila ada di antara kita ditimpa tragedi, kita harus memberikan mereka penghormatan. Tidak kira apa yang berlaku di atas padang, kami mahu menzahirkan rasa simpati kepada Leicester buat masa ini.”
Di atas padang, gol Jamie Vardy dan James Maddison membantu Leicester menang ke atas Watford dengan jaringan 2-0.
Penyokong Watford juga telah mengumpul wang sebanyak £1,700 dan didermakan kepada Yayasan Foxes – satu yayasan kebajikan yang membantu masyarakat di sekitar Leicester. Yayasan itu sebelum ini mendapat sokongan kuat daripada mendian Vichai.
Satu tindakan terpuji daripada penyokong Watford dan menunjukkan sisi indah bola sepak. ‘We Are Rivals Not Enemies’.