Ternyata penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT), Syafiq Ahmad yang kini dipinjamkan ke Kedah Darul Aman FC masih memiliki sentuhan pemusnah selepas menghasilkan lima gol dalam lapan perlawanan pra musim.
Lima gol itu dihasilkan dalam tiga perlawanan iaitu ketika membenam MADA FC dengan keputusan 9-0 di mana Syafiq Ahmad meledak hatrik, satu gol masing-masing ketika menang 1-0 ke atas skuad Piala Presiden Kedah dan terbaharu ketika menang 3-0 ke atas Sarawak United dalam kejohanan pra musim, SMJ Cup di Sabah.
Dalam aksi pembukaan kejohanan empat penjuru yang turut melibatkan Sabah FC dan Kelantan FC itu, Kedah berjaya bermain dengan permainan yang dilihat menerima pujian daripada para penyokongnya, semalam.
Syafiq Ahmad membuka tirai jaringan terlebih dahulu sebelum Fayadh Zulkifli dan Dechi Marcel mengukuhkan kedudukan Sang Kenari dengan keputusan 3-0 di babak kedua. Ia keputusan yang jelas amat baik buat Kedah.
Jika semua masih ingat, Syafiq Ahmad sangat mahu turun beraksi sehingga ‘terlepas cakap’ di media sosial mengenai situasi tidak menggembirakanya yang lebih kerap memanaskan bangku simpanan pada musim lalu.
Ia mengundang teguran pemilik pasukan, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ).
“Anda kerap bermain tahun lepas dan tahun sebelum itu tetapi selepas peristiwa pahit, anda sudah berbeza. Kami beri masa, sokongan dan perhatian. Jikalau tidak berpuas hati atau setuju, datang berjumpa. Berkomunikasi, bukan tweet,” ujar TMJ ringkas.
Ada yang tak dapat main ke tu👀? pic.twitter.com/XU4pDza6ag
— KOPPA (@koppatv) August 21, 2021
Syafiq Ahmad akhir tampil memohon maaf atas ketelanjuran katanya yang boleh mengundang persepsi negatif.
“Saya dengan rendah diri memohon maaf atas tweet yang mengikut perasaan saya semalam kepada rakan sepasukan, kelab dan terutamanya sekali TMJ yang banyak membantu saya selama ini di dalam dan luar padang.
“Saya mengakui tidak sepatutnya bertindak mengikut emosi dan seharusnya fikir di mana kesilapan saya selama ini,” ujarnya.
Sejak kembali ke Kedah, tempat di mana beliau bermula, secara pinjaman daripada JDT, Syafiq Ahmad dilihat semakin mendapat rentak. Permainannya menurut penyokong semakin bagus dan seronok untuk ditonton.
Aksinya di padang sentiasa jadi tumpuan utama para penyokong sejak kembali menyarung jersi Hijau Kuning.
Malah ada dikalangan penyokong merasakan Syafiq Ahmad menjadi semakin bagus sejak bermain di JDT. Dengan menjadi pilihan utama di Kedah, barulah semua dapat melihat potensi sebenar Syafiq Ahmad saat ini.
“Sepanjang perlawanan persahabatan ni, saya lihat kawalan bola, hantaran, off the ball movement Syafiq [Ahmad] memang semakin baik berbanding bersama Kedah suatu ketika dahulu. Syafiq antara yang terbaik dalam kalangan pemain tempatan.
“Harap pemain-pemain lain terutama pemain muda kita dapat belajar dari Syafiq. Terima kasih jugak buat JDT menjadikan Syafiq semakin bagus dan matang. Semoga Syafiq terus menyinar bersama KDA FC. Keep it up. Seronok tengok Syafiq main dan score gol,” titip penyokong, Asyraf di laman Facebook penyokong.
Dengan penyerang import, Ronald Ngah yang tampak masih belum berada di prestasi terbaik, prestasi Syafiq Ahmad bakal dijadikan sandaran untuk aksi awal Liga Super yang bakal membuka tirai pada awal Mac depan.