Kematian seorang penyokong Persija Jakarta di tangan sekumpulan penyokong Persib Bandung sebelum perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan pada Ahad lalu dikecam oleh banyak pihak.
Mangsa kejadian dikenali sebagai Haringga Sirila berusia 23 tahun dipukul sehingga mati berhampiran Stadium Gelora Bandung Lautan Api di Bandung.
Menurut laporan oleh Jakarta Post, Harinnga sebelum itu dikejar oleh sekumpulan lelaki yang merupakan penyokong Persib.
Mangsa kemudian dipukul dan ditendang oleh kumpulan lelaku tersebut menggunakan kayu dan turut dibaling batu di anggota badan dan juga kepala.
Sehingga artikel ini ditulis, pihak polis Indonesia sudah mengesahkan lima suspek yang terlibat dengan insiden tersebut.
Persib dan Persija adalah seteru utama di Liga 1 Indonesia dan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan sering menjurus kepada pergaduhan.
Gabenor Jawa Barat, Ridwan Kamil yang menghadiri perlawanan tersebut melahirkan perasaan dukacita atas kejadian dan kematian Haringga di laman Instagram milik beliau pada Ahad lalu.
“Sangat kecewa dan menyesalkan tindakan biadab penyokong yang mencemarkan kemenangan Persib yang diusahakan dengan susah payah,” ujar beliau.
“Pada saya adalah lebih baik kita tidak memiliki pertandingan bola sepak, jika ia mengakibatkan kehilangan nyawa,” tambah Ridwan lagi.
Gabenor Jakarta, Anies Baswedan turut senada dengan apa yang diluahkan Ridwan.
“Hari ini ialah hari yang amat mendukacitakan. Marah, duka, kecewa,” ujat Anies juga melalui akaun Instagram milik beliau.
Hashtag #RIPHaringga adalah topik hangat dan menjadi trending di laman Twitter di Indonesia pada pagi Isnin ini, setelah netizen beramai-ramai meluahkan kemarahan ke atas insiden dan kematian Haringga.