Penyokong Liga Malaysia (Liga M) tampaknya begitu risau ketika ini selepas melihat dua pemain bintang Harimau Malaya kini terpaksa berehat seketika dalam dunia bola sepak atas musibah dialami mereka.
Kronologi bermula dengan siri serangan dibuat kepada pemain baharu Terengganu iaitu Akhyar Rashid yang dipukul oleh dua individu tidak dikenali selain turut disamun sehingga menyebabkan kecederaan serius dialami bintang berkenaan.
Ianya telah menggemparkan dunia bola sepak tempatan ketika itu apabila keadaan Akhyar dianggap sangat teruk kerana mengalami kecederaan di bahagian kepala, lengan serta kaki.
Sehingga kini, suspek tersebut masih lagi belum dikesan dan Akhyar dilaporkan masih menerima rawatan susulan serta bakal berehat lebih lama sebelum kembali bersama Sang Penyu.
Belum pun reda, peminat bola sepak tempatan sekali lagi dikejutkan dengan siri serangan terbaharu buat pemain Malaysia dengan kali ini giliran Faisal Halim pula menjadi mangsa.
Faisal yang dilaporkan bersama ahli keluarga ketika itu diserang oleh dua individu tidak dikenali dengan simbahan asid dilepaskan kepada beliau sehingga kecederaan parah dialami pemain Selangor tersebut.
Kecederaan yang dianggap parah itu pastinya akan menyebabkan Faisal terlepas banyak perlawanan bersama Selangor musim ini selain tidak akan bersama pasukan kebangsaan seketika.
Tindakan-tindakan tersebut dianggap sangat tidak bermoral dan para pelaku kepada jenayah tersebut perlu dibawa ke muka pengadilan supaya nasib para pemain ini terbela.
Melihat kepada ancaman yang mula hadir kepada para pemain bola sepak profesional negara, para peminat turut meluahkan beberapa pendapat termasuk soal keselamatan mereka.
Antara cadangan menarik dikeluarkan supaya pemain bintang atau tumpuan negara perlu diberi kawalan keselamatan lebih baik supaya kejadian sama tidak berulang.
“Patutnya key player ni dijaga rapi. Kurangkan update lokasi di media sosial. Kalau ada event pun perlu ada body guard untuk menjaga player-player yang hadir. Harap SFC boleh hire body guard untuk sebarang event diluar padang. Gws Mickey, anda kuat. Yang pasti perbuatan ini memang dirancang. Orang gila je bawak asid masuk dlm Mall,” ulas Perosak Bunyi di Facebook.
“Patut player yang ada game penting dalam masa terdekat kena kawal aktiviti luar sekarang kita tak tahu mana satu musuh mana peminat,” komen Izwan Shah Property pula.
“Kelab kene kawal pemain. Safety first. Menjelang perlawanan sumbangsih ni, macam-macam tak dijangka boleh berlaku. Hidekan semua senarai pemain, masa bertolak, penginapan kenderaan dan sebagainya. Keselamatan pemain adalah keutamaan,” saran Muhammad Nurshazni Mohd Salleh.
Selain itu pelbagai ucapan positif diberikan oleh para peminat dari serata pasukan buat Faisal supaya pemain ini kembali sembuh dan terus kuat.
Kami sendiri di Semuanya BOLA mengecam perbuatan tersebut dan berharap si pelaku dapat ditangkap pihak berkuasa secepat mungkin.