Tiada lanjutan kontrak untuk jurulatih dan pemain Kedah kerana kontrak baharu akan ditawarkan sekiranya khidmat mereka diperlukan untuk musim depan.
Itu merupakan jawapan Setiausaha Kehormat Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Mohd Firdaus Ahmad mengenai status kontrak jurulatih dan pemain-pemain Kedah yang akan berakhir pada penghujung November ini. Dan menurutnya, pengendali, Aidil Sharin Sahak juga belum menandatangani kontrak baharu yang telah ditawarkan.
#alorsetar #bolatime Teka-teki mengenai status Aidil Sharin Sahak selaku pengendali skuad Kedah terjawab hari ini apabila beliau mengesahkan menyambung kontrak selama dua tahun bersama pasukan itu. https://t.co/YA32AXXiN6
— Harian Metro (@hmetromy) October 22, 2020
Sebelum ini, KFA mengesahkan sudah menawarkan kontrak dua tahun kepada pengendali asal Singapura itu dan beliau juga telah mengesahkan bersetuju untuk menerimanya. Beliau hanya menanti masa untuk memuktamadkannya.
Mengapa tiada lanjutan? Ini kerana KFA sedang menstruktur semula perbelanjaan pasukan untuk musim hadapan. Jadi, tawaran kontrak baharu adalah tertakluk dengan pengurangan gaji sedia ada sedang dipertimbangkan oleh pihak pengurusan KFA.
“Baru-baru ini, kita telah melangsaikan hutang berjumlah RM3.8 juta. Dan, kini kita sedang berbincang mengenai perancangan untuk musim hadapan,” ujar Mohd Firdaus yang dipetik menjawab kepada persoalan New Straits Times.
“Perancangan kita adalah untuk menstruktur semula pasukan dan mengurangkan beberapa kos pengurusan pasukan [antaranya pengurangan gaji pemain], kerana kita tidak mahu berbelanja melebihi kemampuan kita,” tambahnya lagi.
#sik #bolatime Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) mengesahkan sudah melunaskan semua gaji tertunggak pemain dan pegawai pasukan itu berjumlah RM3.8 juta semalam. https://t.co/9IKoXq2pkS
— Harian Metro (@hmetromy) November 1, 2020
Selain itu, menurut Mohd Firdaus lagi, kemungkinan besar sebahagian pemain tidak akan ditawarkan kontrak baharu untuk musim hadapan. Jelasnya, “Ini kerana kita perlu semak semula kontrak sedia ada semua pemain pada ketika ini. Bagaimanapun, kita akan kekalkan 70 ke 80 peratus pemain yang bermain pada musim ini.”
“Kita tidak mampu menawarkan gaji yang besar kerana kita tiada sumber pendapatan daripada perniagaan. Kedah bukanlah pasukan yang kaya,” tambahnya lagi sambil berkata yang mereka juga tiada kuasa untuk menghalang mana-mana pemain atau jurulatih yang mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan nanti.
“Selain bermain bola sepak, kita juga mahu lihat apa yang pemain-pemain boleh tawarkan kepada program tanggugjawab sosial korporat kami seperti penjualan dan promosi. Kita mahu lihat sumbangan di luar padang. Kita mahu berbelanja dengan bijak, tetapi seboleh-bolehnya kita mahu dia [Aidil Sharin] kekal,” ujarnya lagi.
Oleh itu, diharapkan penyokong bertenang dahulu kerana belum tentu jurulatih dan para pemain akan kekal untuk saingan musim hadapan. Difahamkan perbincangan antara pengurusan tertinggi KFA, jurulatih dan pemain akan berlangsung selepas ini – kemungkinan selepas saingan TM Piala Malaysia 2020 berakhir.
KREDIT FEATURED IMAGE: KEDAH FA
Baca lagi artikel mengenai Jurulatih dan Pemain Kedah FA:
Aidil Sharin Mahu Tengok Dahulu Hala Tuju & Perancangan Kedah FA
‘Buangan’ Kedah, Fernando Rodriguez Kini Ditagih Untuk Pacu Cabaran JDT Di ACL
KFA Umum Nama Rasmi Kedah Darul Aman, Lancar Pertandingan Cipta Logo Baharu