Baru-baru ini bolasepak Malaysia dihebohkan dengan viral video seorang penyokong yang terjatuh di dalam longkang di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan ketika aksi perlawanan persahabatan Pulau Pinang menentang Kedah.
Selepas kejadian tersebut, Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) yang diwakili presiden baharu FAP, Dato Tahir Jalaluddin Hussain bersama Ketua Jurulatih, Zainal Abidin Hassan serta Ahli Majlis FAP En. Faizul Rashid meluangkan masa melawat mangsa, Suhaimi Wahab.
Dalam lawatan selama satu jam tersebut, Dato Tahir berbual mesra dan telah menyampaikan sedikit sumbangan peribadi buat Suhaimi yang difahamkan telah mengalami kecederaan bengkak dibahagian lutut kirinya akibat kejadian tersebut.
Pada masa yang sama, Dato Tahir juga tidak melepaskan peluang menasihatkan kepada seluruh penyokong bolasepak Pulau Pinang mahupun penyokong lawan supaya menjaga keselamatan diri ketika berada di stadium.
Ketika perlawanan persahabatan pra musim di antara Pulau Pinang menentang Kedah yang berlangsung di Stadium Batu Kawan, suasana tiba-tiba menjadi kecoh seketika pada waktu berehat separuh masa pertama.
Kekecohan terjadi apabila seorang penyokong terjatuh ke dalam longkang sedalam hampir dua meter yang terletak di antara tempat duduk penonton dan trek stadium berkenaan.
Situasi cemas itu memaksa pihak Angkatan Pertahanan Awam Pulau Pinang (APM) dan dibantu oleh PDRM serta jawatankuasa keselamatan stadium segera berusaha mengeluarkan mangsa tersebut kerana dikuatiri lemas.
Usaha untuk mengeluarkan mangsa mengambil masa hampir 15 minit kerana keadaan fizikal mangsa yang besar sekaligus menarik perhatian ribuan penyokong yang hadir.
Rakaman video detik cemas tersebut juga telah menjadi tular di media sosial, dan tindakan menyelamat tersebut turut disiarkan di dalam rancangan 999 terbitan Media Prima baru-baru ini.
Menjelang sepak mula Liga Malaysia 2018 yang akan bermula pada bulan hadapan, kami menasihatkan agar semua penyokong-penyokong bola sepak di seluruh negara agar berhati-hati, menjaga tingkah laku, dan tidak terlalu ghairah sehingga boleh menyebabkan kecederaan kepada diri sendiri dan orang lain.