Bert van Marwijk Dilantik Pengendali Baharu Australia Untuk Piala Dunia 2018

Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA) akhirnya telah memilih untuk melantik Bert van Marwijk sebagai ketua jurulatih Australia yang baharu untuk kempen Piala Dunia 2018 yang akan berlangsung di Rusia.

Pada Disember lalu, FFA telah mengumumkan satu panel khas untuk melantik ketua jurulatih yang baharu yang turut disertai tiga generasi emas Australia, iaitu Mark Bresciano, Stan Lazaridis dan Mark Schwarzer.

(Photo by Lars Baron/Getty Images)

Turut berada di dalam senarai panel tersebut adalah ketua prestasi FFA, Luke Casserly, penolong jurulatih, Ante Milicic, pengarah teknikal kebangsaan FFA, Eric Abrams dan ketua pegawai perubatan, Dr Mark Jones.

FFA secara rasmi telah mengumumkan van Marwijk pada Khamis dengan kontrak jangka pendek serta dijangka kontrak jangka panjang akan ditawarkan dalam masa terdekat, sekurang-kurangnya selepas Piala Dunia.

Van Marwijk adalah antara calon utama untuk jawatan tersebut dan telah bersaing bersama Graham Arnold, Jurgen Klinsmann, Slaven Bilic, Marcelo Bielsa serta Louis van Gaal.

Van Marwijk pernah membimbing Belanda sehingga ke pentas akhir Piala Dunia 2010 menentang Sepanyol yang berakhir dengan Belanda tewas 0-1, dalam aksi masa tambahan.

Terbaharu, dia telah berjaya membawa Arab Saudi layak ke Piala Dunia 2018, selepas kali terakhir dilakukan pada 2006. Dia kemudian mengumum melepaskan jawatannya itu.

(Photo by Shaun Botterill/Getty Images)

Untuk rekod, Van Marwijk merupakan jurulatih ketiga daripada Belanda yang mengendalikan skuad ‘Socceroos’ selepas Guus Hiddink and Pim Verbeek.

Menurut Daily Telegraph, pelantikannya adalah terbaik – pada masa yang tepat dan pada harga yang betul. Ini kerana, FFA ketika ini sedang mengalami masalah kekangan kewangan.

FFA dilaporkan hanya mampu menawarkan kontrak dalam lingkungan $1 juta untuk jangka masa lima bulan dengan bonus berjumlah $500,000, jika Australia mampu layak ke pusingan kedua Piala Dunia.

Dan disebabkan kekangan kewangan itu, FFA terpaksa melupakan khidmat Jurgen Klinsmann, Louis van Gaal dan Marcelo Bielsa yang dikhabarkan mempunyai ‘tanda harga’ yang tinggi.

Menurut pengerusi FFA, Steven Lowy, pelantikan van Marwijk adalah berkelas dunia. Selain pernah membimbing skuad Piala Dunia Belanda, dia juga sangat mengenali para pemain Australia.

Pengerusi FFA, Steven Lowy. Foto: AAP

“Dia membawa Belanda ke final Piala Dunia 2010, dia juga memimpin Arab Saudi layak ke Piala Dunia tahun ini, dan paling penting, dia sangat mengenali pemain-pemain kami dan cara permainan kami.

“Ini kerana, dia telah mempelajari mereka secara dekat sebagai jurulatih pasukan lawan yang bersaing bersama-sama ketika dalam peringkat kumpulan,” ujar Lowy.

“Pengalaman-pengalaman tersebut menjadikannya sebagai pilihan yang sangat menarik,” tambah Lowy lagi mengenai jurulatih berusia 65 tahun itu.

(Photo by Valerio Pennicino/Getty Images)

Sementara itu, van Marwijk dijangka akan membawa masuk lagenda Belanda yang juga merupakan menantunya, Mark van Bommel selaku pembantunya.

Baginya, pelantikan tersebut penting kerana van Bommel pernah bekerja bersamanya ketika di Arab Saudi dan mereka telah serasi bersama.

“Saya mahu Mark untuk bersama saya. Saya telah bekerja bersamanya selama dua tahun di Arab Saudi dan saya juga kerap melihatnya melatih skuad B-19 PSV Eindhoven,” jelas van Marwijk.

Tugas pertamanya adalah aksi persahabatan menentang Norway pada 23 Mac dan Colombia, empat hari kemudian. Untuk Piala Dunia, Australia akan membuka tirai menentang Perancis pada 16 Jun.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN