Selepas pendedahan Tunku Mahkota Johor (TMJ) mengenai keputusan untuk mendapatkan bekas pemain Swansea City iaitu Jordi Amat, ianya mengundang reaksi yang mengecewakan penyokong Indonesia.
Amat yang kini menanti status naturalisasi untuk membolehkannya beraksi untuk Indonesia, dilihat sudah mula menimbulkan reputasi buruk dalam dirinya selepas pendedahan TMJ itu.
Hal ini kerana, TMJ mendedahkan yang Amat bakal mengisi slot pemain ASEAN untuk JDT apabila tiba masanya.
Dalam sebuah perbualan di Instagram Direct yang tular, seorang penyokong Indonesia yang bernama Arya Pradana membicarakan hal tersebut dengan satu lagi pendukung Garuda.
Menerusi perbualan tersebut, ianya didedahkan yang Amat sebenarnya mempunyai tawaran untuk beraksi bersama-sama Panathinaikos di Greece tetapi memilih untuk ke JDT.
Puncanya adalah kerana tawaran gaji di JDT lebih hebat berbanding kelab utama Greece itu.
“Dia (Amat) memang menantikan passport Indonesia untuk bermain di JDT,
“Panathinaikos beri €60 ribu sebulan. Seharusnya PSSI (FA Indonesia) lebih tegas dalam menetapkan syarat naturalisasinya,” kata Arya.
Kekecewaan itu turut terpancar pada individu yang berbual dengan Arya apabila dia berasakan yang Amat dan JDT sekadar mahu mengekspolitasi kewarganegaraan Indonesia untuk beraksi bersama Harimau Selatan.
Lantas, individu itu mencadangkan agar ada syarat yang lebih jelas untuk pemain naturalisasi Indonesia dengan mereka hanya dibenarkan mewakili sesetengah kelab sahaja.
“Perlu ada klausa yang jelas yang tidak benarkan pemain untuk bermain di Asia terutamanya Asia Tenggara. Jika mahu ke Asia, minimum adalah Jepun, Korea [Selatan] atau Arab Saudi,” katanya.
— No Context Bola Malaysia (@nocontextbolamy) June 28, 2022
Perpindahan Amat ke JDT masih belum dapat disahkan akibat isu teknikal berkaitan hak kewarganegaraan pemain itu.
Tetapi, ianya sudah menunjukkan yang reaksi yang kurang senang dari penyokong Indonesia yang melihat pemain seperti Amat lebih memilih beraksi di negara jiran berbanding kelab Eropah.
Amat mempunyai pengalaman luas beraksi di La Liga dan juga Premier League.