Perlawanan bola sepak yang kebiasaannya berlangsung pada hujung minggu namun dianjakkan pada lewat hari Isnin seperti sudah menjadi kebiasaan di Eropah. Ia bagi memudahkan kerja-kerja logistik untuk membenarkan siaran secara langsung diadakan, selain daripada mengoptimakan pendapatan daripada peluang pengiklanan.
Di England misalnya, perlawanan turut diadakan pada lewat hari Jumaat. Semua ini adalah sebahagian daripada bola sepak moden yang perlu dilalui pada hari ini- dimana hak penyiaran menjanjikan pulangan kewangan berlipat kali ganda berbanding apa yang diperolehi oleh penganjur dan kelab-kelab bola sepak sedekad yang lalu.
Protes di Bundesliga & La Liga
Tatkala siaran langsung boleh memudahkan jutaan peminat dari serata dunia menonton perlawanan hanya dari gajet atau kaca televisyen, ia mungkin perkara sebaliknya buat sebahagian lagi penyokong.
Perlawanan yang diadakan pada sebelah malam, pasti akan berakhir pada lewat malam. Lebih menyukarkan, ia turut diadakan pada hari bekerja.
Disebabkan faktor sedemikian, penundaan perlawanan sehingga ke hari Isnin mendapat bantahan daripada penyokong-penyokong bola sepak di eropah.
Di Bundesliga misalnya, penyokong Frankfurt membaling masuk bola tenis sebelum bermula setiap babak perlawanan pada Februari tahun lalu.
Enam hari yang lalu, penyokong Rayo Vallecano dan Leganés bersatu hati membentangkan tifo gergasi sebagai bantahan kepada perlawanan yang diadakan pada hari Isnin.
Dan apa yang berlaku pada malam tadi di antara Alaves dan Levante di perlawanan La Liga turut menarik perhatian.
Penyokong Alaves adakan pengebumian
Perlawanan La Liga diantara Alaves dan Levante sepatutnya diadakan pada jam 9 malam (3am waktu Malaysia) tadi.
Sebagai tanda protes, penyokong enggan memasuki stadium untuk tempoh lima minit pertama perlawanan – memaksa kedua-dua pasukan beraksi dengan stadium hampir kosong.
Alaves fans tonight dressed in black and with mobile phones alight, all part of a ‘mock funeral’ for the death of the soul of modern football.pic.twitter.com/yVi16Crvjo
— Paul Reidy (@paulreidy67) February 11, 2019
Apabila penyokong memasuki stadium, mereka berarak masuk dengan berpakaian hitam dan membawa sepanduk ‘RIP Football’.
⚰ CASKET CASE ⚰
Yes, it’s happening.
Alavés fans are carrying around a casket as a symbol of the Death of Football.
Now… this escalated quickly
? @alavestequiero2 #LLL
???⚽️pic.twitter.com/YXPB4mhwZH— La Liga Lowdown ???⚽️ (@LaLigaLowdown) February 11, 2019
Sambil lampu telefon bimbit dihidupkan, mereka turut mengarak masuk sebuah keranda sebagai simbolik pengebumian dan matinya bola sepak kerana tunduk kepada kuasa komersil yang melebihi kepentingan penyokong.
Rumusan
Situasi seperti yang melanda bola sepak eropah seperti yang dikisahkan di atas adakalanya menimbulkan dilema. Dari sudut lain, kelab-kelab dan pemegang taruh memerlukan sumber kewangan yang kukuh untuk meneruskan kos operasi, sekaligus menjadikan saingan liga menjadi kompetitif.
Dari sudut lain, ia mungkin mengorbankan perkara lain, seperti prinsip atau keutamaan. Di dalam kes seperti di Jerman dan Sepanyol seperti yang dinyatakan di atas, jelas sekali ia memberi kesan kepada penyokong yang setia turun ke stadium.