Tanda tanya sebelum ini tercetus dalam kalangan penyokong bola sepak di Indonesia mengenai ketiadaan kelibat penyerang berbisa Persib Bandung iaitu David da Silva bersama pasukannya sejak beberapa aksi lalu.
Menurut Pesuruhjaya Persib Bandung Bermartabat (PBB) iaitu Umuh Muchtar, David menghilang daripada bersama rakan sepasukan lain kerana isu kewangan membabitkan penyerang itu bersama kelab.
Terdahulu, David tidak kelihatan pada perlawanan membabitkan antara Persib dan Bhayangkara kerana dilaporkan mengalami demam panas untuk direhatkan.
Hasilnya, mereka hanya mampu mencatat keputusan seri tanpa sebarang jaringan terhasil dengan skuad diwakili Radja Nainggolan pula berjaya mencuri satu mata cukup penting.
Menurut Umuh, faktor sebenar kehilangan David adalah disebabkan ejen pemain tersebut menghadapi sedikit masalah bersama pihak pengurusan kelab.
Jelas Umuh, masalah terjadi kerana pihak Persib mengalami sedikit masalah untuk menyelesaikan baki wang pendahuluan untuk menyambung kontrak baharu pemain tersebut.
“Kami buka sahaja masalah yang terjadi antara kami bersama pihak ejen David dan saya sebenarnya sudah pun menghubungi mereka serta segalanya sudah pun selesai.
“Isu yang berlaku sebelum ini adalah mengenai wang pendahuluan ya, bukan mengenai sebarang tunggakan gaji. Mengenai gaji, segalanya sudah pun diselesaikan,” kata beliau menerusi CNN Indonesia.
Walaupun segalanya sudah pun diselesaikan, bekas pemain import Terengganu itu masih belum menghadiri sesi latihan pasukan bersama rakan-rakan lain tanpa diketahui alasan sebenar.
“Kalau masih ada masalah yang berlaku, kami minta maaf tapi ejen juga tidak boleh buat keputusan sebegini dan saya anggap ianya tidak bijak.
“David sendiri masih belum mengikuti sesi latihan, dan sehingga kini saya masih cuba untuk menyelesaikan perkara tersebut daripada terus berlanjutan.
“Apa yang berlaku ini sangat mengganggu pasukan. Saya tidak perlu menjelaskan lebih lanjut mengenai hal itu tetapi ya, sila kembali bersama pasukan dan kami sudah pun maafkan. Tak ada masalah,” luah Umuh lagi.
Untuk rekod, penyerang berbisa dari Brazil itu sudah pun merekodkan 21 gol pada musim ini bersama tujuh bantuan jaringan daripada 27 perlawanan dihadapi bersama pasukan tersebut.
Jumlah jaringan itu menyaksikan David semakin hampir merebut gelaran selaku penjaring terbanyak dalam saingan Liga 1 Indonesia selepas ia turut dibezakan dengan dua jaringan oleh penyerang Persik, Flavio Silva.