Selepas kelab TRW Kelantan terpalit dengan isu gaji tertunggak sehingga sebahagian besar pemainnya bertindak mengangkat kaki meninggalkan pasukan, sebahagian rakyat di negeri Cik Siti Wan Kembang itu mula meletakkan harapan kepada satu lagi pasukan iaitu Kelantan United.
Malangnya kedua-dua pasukan nampaknya ‘bersepakat’ untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi kerana Skuad Kijang Hijau itu juga dilaporkan sedang dibelenggu masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan yang mencecah sehingga empat bulan.
Menurut maklumat dalam yang diperolehi, pasukan utama yang beraksi di Liga Super mempunyai tunggakan gaji sekitar tiga setengah bulan selepas gaji terakhir yang diterima adalah separuh gaji untuk bulan September.
Manakala untuk skuad B-23 yang beraksi dalam saingan Piala MFL pula sudah tidak menerima gaji sejak bulan Ogos.
Kelantan United hutang pemain lima bulan, hanya bayar gaji ‘mat’ import
Ada lagi beberapa team lain yang isu sama…https://t.co/v0DuAapnLP pic.twitter.com/ZQ574dfZYD
— Flash Sukan (@FlashSukan) December 15, 2023
“Sebelum ini pihak pengurusan pernah berjanji akan membuat bayaran menjelang aksi Piala Cabaran menentang Kuching City, tetapi sehingga kini ianya hanyalah omongan kosong semata-mata,” ujar sumber berkenaan.
“Kami berharap pihak pengurusan memahami kekangan yang dihadapi oleh semua pihak yang terjejas kerana masing-masing mempunyai komitmen dan menanggung ahli keluarga.
“Kami kononnya diminta untuk ‘menjaga aib’ pasukan, tetapi adakah pihak pengurusan memikirkan bebanan dan air muka kami yang terhimpit dengan masalah ini dan dibiarkan ‘makan pasir’ selama beberapa bulan.”
Apa yang lebih dikesali adalah kedudukan Presiden Kelab iaitu, Yang Berhormat (YB) Rozi Muhamad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tendong yang mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Kelantan.
Rozi yang dipilih untuk memimpin pasukan pada awal musim ini walaubagaimanapun pernah menegaskan bahawa Kelantan United bukanlah milik kerajaan negeri Kelantan, sebaliknya merupakan sebuah pasukan profesional.
Namun beliau mengakui pihaknya mempunyai hubungan baik dengan kerajaan negeri disebabkan sejarah awal pembentukan pasukan tersebut yang dikenali dengan nama Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) Urusetia Belia dan Sukan.
Hal pembayaran gaji ini tidak boleh diambil mudah. Memetik tulisan Bayan Linnas yang diterbitkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengenai Hak Pekerja Dalam Islam, ditegaskan bahawa Islam sangat menitik beratkan kebajikan seorang pekerja serta memberi peringatan keras terhadap majikan yang menzalimi pekerjanya.
Gaji yang telah dijanjikan. Ia hendaklah dibayar mengikut terma perjanjian. Bahasa yang digunakan dalam hadis adalah sebelum peluh kering seperti dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Umar R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
أَعْطُوا الأَجِيرَ أَجْرَهُ ، قَبْلَ أَنْ يَجِفَّ عَرَقُهُ
Maksudnya: “Berikanlah upah pegawai (buruh), sebelum kering peluhnya.”
Riwayat Ibn Majah (2443), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (11988)
dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Saghir (34)Imam al-Munawi berkata: “Haram hukumnya menunda gaji pekerja sedangkan tidak ada kekangan untuk segera menyerahkannya. Perintah untuk menyerahkan gaji sebelum mengering peluh para pekerja adalah satu kiasan atas wajibnya menyegerakan setelah pekerjaan mereka selesai, ketika para pekerja memintanya meskipun belum sampai berpeluh, atau berpeluh dan telah kering.” (Lihat Faidh al-Qadir, 1/718)
Dalam satu hadith qudsi, Nabi SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman:
ثَلاَثَةٌ أَنَا خَصْمُهُمْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ… وَرَجُلٌ اسْتَأْجَرَ أَجِيرًا فَاسْتَوْفَى مِنْهُ وَلَمْ يُعْطِ أَجْرَهُ
Maksudnya: “Terdapat tiga golongan yang akan menjadi musuh-Ku pada hari Kiamat… (salah satunya ialah) orang yang mempekerjakan orang lain, namun setelah orang tersebut memenuhi tugasnya, upahnya tidak dibayarkan.
Riwayat al-Bukhari (2227) dan Ibn Majah (2442)
Imam al-Subki dalam satu fatwanya menyebut:
ﻭﺍﻟﺮَّﺟُﻞُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺍﺳْﺘَﺄْﺟَﺮَ ﺃَﺟِﻴﺮًﺍ ﻣُﺴْﺘَﻮْﻑٍ ﻋَﻤَﻠَﻪُ ﻭَﻟَﻢْ ﻳُﻌْﻄِﻪِ ﺃَﺟْﺮَﻩُ ﺑِﻤَﻨْﺰِﻟَﺔِ ﻣَﻦْ ﺍﺳْﺘَﻌْﺒَﺪَ ﺍﻟْﺤُﺮَّ ﻭَﻋَﻄَّﻠَﻪُ ﻋَﻦْ ﻛَﺜِﻴﺮٍ ﻣِﻦْ ﻧَﻮَﺍﻓِﻞِ ﺍﻟْﻌِﺒَﺎﺩَﺓِ ﻓَﻴُﺸَﺎﺑِﻪُ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺑَﺎﻉَ ﺣُﺮًّﺍ ﻓَﺄَﻛَﻞَ ﺛَﻤَﻨَﻪُ ﻓَﻠِﺬَﻟِﻚَ ﻋَﻈُﻢَ ﺫَﻧْﺒُﻪُ
Maksudnya: “Seseorang yang mengupah orang lain bekerja, kemudian orang tersebut telah menunaikan tugasnya dengan baik, namun dia tidak memberikan upahnya, adalah sama seperti orang yang menghambakan manusia merdeka. Dia menghalang orang lain untuk memperbanyakkan ibadah-ibadah sunnah. Maka ini sama sahaja dengan orang yang menjual manusia merdeka kemudian memakan hasilnya. Ini adalah dosa yang sangat besar.” (Lihat Fatawa al-Subki, 2/377)
🕌Hak Pekerja Dalam Islam : Menerima Gaji yang Telah Dijanjikan 💵
📚 Rujukan: Bayan Linnas ke-196, Laman Sesawang Rasmi Pejabat Mufti WPhttps://t.co/KUWD1mqI8D pic.twitter.com/TJH0cbTysm
— Workers Unmuted (@workersunmuted) June 9, 2023
Maka selaku seorang pemimpin yang dikatakan mengangkat ‘perjuangan Islam’ seharusnya perkara asas seperti ini tidak dibiarkan berlanjutan sehingga berbulan-bulan dan memberi kesan besar kepada pemain dan pegawai pasukan yang terlibat.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kelantan United, Wan Zul Ikman Wan Abdul Aziz dalam temubualnya dengan Utusan Malaysia menafikan pihaknya berdiam diri dan bersikap lepas tangan terhadap isu tersebut.
Beliau sebaliknya menegaskan pihaknya akan melunaskan semua bayaran baki tunggakan gaji pemain dalam masa terdekat meskipun terpaksa melaksanakannya secara berperingkat.
“Insya-Allah, seboleh-bolehnya kami mahu menutup musim ini dengan cemerlang iaitu bebas dari hutang dengan pemain,” ujarnya.